KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 17, Jalan Kota Kinabalu-Papar, Sabah awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, mangsa berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Supritendan Arisanti Aziz berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 22 tahun dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menghala ke Papar dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar motosikal mangsa.
“Akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa terseret sebelum terbakar, manakala mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat.
Pemandu kereta telah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menyebarkan gambar di lokasi kejadian bagi menghormati dan menjaga sensitiviti keluarga mangsa. – MalaysiaGazette
















