KUALA LUMPUR – Kempen pemimpin DAP yang mengaitkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dengan isu pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanyalah taktik politik Pakatan Harapan (PH) untuk meraih sokongan pengundi.
Pemerhati politik, Azizi Safar mendakwa, tujuan Nga Kor Ming, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP yang merupakan individu pertama mengaitkan PRN Johor dengan pembebasan Najib sangat jelas kerana mahu mendapatkan sokongan daripada kelompok pengundi yang tidak mahu bekas perdana menteri itu dibebaskan.
Azizi menyifatkan kempen Kor Ming itu sebagai satu taktik murahan untuk mendapatkan sokongan dengan membangkitkan sentimen lama, walhal tiada pemimpin UMNO yang menjadikan isu pembebasan tersebut sebagai bahan dalam kempen mereka di Johor.
“Kenapa PH begitu ghairah nak kaitkan PRN Johor dengan Najib Razak?
“Kerana Pakatan Harapan tahu sokongan mereka semakin rapuh. Jadi, cara paling mudah ialah bangkitkan isu emosi lama supaya rakyat lupa pada masalah semasa.
“Kerana lebih mudah memainkan sentimen daripada menjawab persoalan rakyat. Lebih mudah membangkitkan emosi daripada mempertahankan prestasi,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Jelas beliau, isu 1MDB dan Najib tidak relevan dengan PRN Johor kerana pilihan raya itu bukan referendum terhadap kes mahkamah atau individu tertentu, sebaliknya medan untuk rakyat menentukan hala tuju pentadbiran negeri bagi lima tahun akan datang.
Jadi, usaha mengheret isu 1MDB dan Najib ke dalam kempen PRN Johor ke-16 hanya mengalih fokus daripada isu-isu sebenar yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat Johor.
Sedangkan, katanya, pengundi yang rasional dapat melihat taktik PH ini sebagai bukti bahawa mereka sudah tak ada isu lain yang lebih baik untuk ditawarkan.
Bahkan, beliau yakin pengundi Johor yang bijak tidak akan mudah terpedaya dengan permainan politik murahan PH ini.
Ia kerana PRN Johor bukan tentang Najib tetapi tentang masa depan Johor dan kehendak rakyat.
“Kemenangan besar UMNO-BN dalam PRN Johor ke-16 tidak akan membebaskan Najib Razak. Pengampunan Diraja bukan ditentukan oleh keputusan sesuatu pilihan raya, sebaliknya merupakan proses yang berjalan mengikut Perlembagaan dan saluran undang-undang yang telah ditetapkan.
“Jangan biarkan Pakatan Harapan memutar fakta. Sebar luaskan kebenaran ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

















PH akan kalah teruk kerana terus tidak menyokong pembebasan najib