Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang berucap pada Ceramah Harapan di Bilik Gerakan Pakatan Harapan DUN Perling, Taman Perling, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 06 JULAI 2026.

PERLING –  Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar pertandingan memilih kerajaan negeri baharu, sebaliknya menjadi medan penting untuk menentukan sama ada negara terus melangkah ke hadapan atau kembali kepada politik lama yang berteraskan perkauman.

Itu penegasan pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, yang menyifatkan rakyat Johor kini memikul tanggungjawab besar untuk mempertahankan ‘Impian Malaysia’, iaitu sebuah negara yang lebih adil, bebas, makmur serta menjunjung kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia.

Berucap di hadapan ratusan penyokong pada ceramah Pakatan Harapan (PH) di Perling malam ini, beliau berkata Malaysia perlu mempunyai aspirasi tersendiri dan tidak sekadar melihat kepada kemajuan negara lain.

“Di China mereka bercakap mengenai ‘Impian China’. Malaysia juga mesti mempunyai impiannya sendiri, iaitu menjadi sebuah negara yang lebih adil, lebih bebas, lebih makmur, berlandaskan kedaulatan undang-undang serta menghormati hak asasi manusia,” katanya.

Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang bersama Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Ramkarpal Singh, Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching, Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong dan calon PH N.46 Perling, Alan Tee Boon Tsong bergambar bersama penyokong PH yang hadir pada Ceramah Harapan di Bilik Gerakan Pakatan Harapan DUN Perling, Taman Perling, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 06 JULAI 2026.

Menurut bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, impian tersebut hanya mampu direalisasikan sekiranya rakyat meletakkan identiti sebagai rakyat Malaysia mengatasi sentimen perkauman yang masih membelenggu politik negara.

Beliau berkata, selepas hampir tujuh dekad kemerdekaan, persoalan yang perlu dijawab setiap rakyat ialah sama ada mereka lebih mengutamakan identiti sebagai rakyat Malaysia atau masih melihat diri melalui lensa kaum masing-masing.

“Malaysia ialah rumah kita bersama. Rumah ialah tempat yang membuatkan kita berasa diterima, selamat dan mahu kembali menyumbang. Itulah negara yang kita mahu bina untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Kit Siang berkata, usaha membina negara yang lebih bersatu tidak akan berlaku dalam tempoh singkat kerana Malaysia merupakan negara berbilang kaum dengan masyarakat Melayu sebagai majoriti, justeru keyakinan semua pihak perlu dibina secara berperingkat.

Katanya, perubahan hanya boleh dicapai melalui kesabaran, persefahaman dan kesediaan untuk membetulkan kelemahan yang wujud tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk.

Beliau turut menyentuh mengenai penghijrahan rakyat Malaysia ke luar negara, termasuk ke Singapura, dan percaya ramai sebenarnya mempunyai hasrat untuk pulang serta menyumbang kepada pembangunan tanah air sekiranya mereka yakin negara berada di landasan yang betul.

“Saya percaya ramai rakyat Malaysia di luar negara masih menyimpan harapan untuk pulang.

“Tanggungjawab kita ialah memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang memberi keyakinan kepada mereka untuk kembali membina masa depan bersama,” katanya.

Beliau pada masa sama mengingatkan penyokong supaya tidak mengambil mudah PRN Johor kerana setiap undi akan menentukan sama ada Impian Malaysia terus dipertahankan atau semakin menjauh daripada kenyataan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast