KUALA LUMPUR – Sebanyak 143 kontena berisi sisa elektronik (e-waste) dengan berat dianggarkan lebih tiga juta kilogram (kg) telah berjaya dibawa keluar dari Malaysia menerusi fasa pertama, Joint Task Force Buangan Terjadual Pelabuhan Klang.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sehingga kini pihaknya telah selesai memeriksa sebanyak 685 kontena.
“Kita telah berjaya membawa keluar 143 kontena e-waste dengan anggaran berat keseluruhan 3,057,235 kg dari Malaysia dan tindakan ini merupakan sebahagian daripada strategi operasi yang dilaksanakan.
“Ia bagi memastikan kontena yang dikenal pasti mengandungi ewaste diuruskan mengikut peruntukan undang-undang, sekali gus membolehkan proses pemeriksaan, siasatan dan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih sistematik, teratur dan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selaras dengan perancangan operasi yang telah ditetapkan, Nik Ezanee berkata Fasa 2 akan bermula pada Rabu ini melibatkan pengeluaran 531 kontena secara berperingkat.
“Pelaksanaan fasa ini akan dilaksanakan dengan kerjasama erat semua agensi berkaitan bagi memastikan aspek keselamatan, pematuhan undang-undang serta perlindungan alam sekitar sentiasa menjadi keutamaan,” jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi Joint Task Force Buangan Terjadual Pelabuhan Klang turut mencadangkan tindakan menyenarai hitamkan 50 syarikat yang dikenalpasti oleh Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait dengan membawa masuk sisa e-waste.
“Sementara itu, dua syarikat perkapalan turut dicadangkan pergantungan lesen kerana gagal mematuhi arahan mengeluarkan kontena e-waste mengikut tarikh yang ditetapkan.
“Operasi ini mencerminkan komitmen Joint Task Force Buangan Terjadual Pelabuhan Klang dalam memperkukuh kawalan di pintu masuk negara serta membanteras aktiviti pengimportan sisa elektronik (e-waste) yang menyalahi undang-undang.
“Usaha ini dilaksanakan melalui pendekatan penguatkuasaan yang strategik dan bersepadu bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan destinasi kemasukan atau pelupusan e-waste secara haram.
“AKPS akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama kementerian dan agensi penguat kuasa berkaitan dalam melaksanakan aktiviti risikan, pemeriksaan, penguatkuasaan dan tindakan susulan secara menyeluruh,” ujarnya.
Untuk rekod, Joint Task Force Buangan Terjadual Pelabuhan Klang, yang diketuai AKPS Pelabuhan Klang dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), SIRIM Berhad, PDRM)dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK). – MalaysiaGazette
















