KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tidak mengetahui mana-mana syarikat berkaitan program Jana Wibawa pernah membuat sumbangan politik kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau yang juga saksi pendakwaan ke-11 berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah memaklumkan kepada beliau mahupun Jemaah Menteri bahawa beliau (Muhyiddin) atau Bersatu akan menerima wang daripada syarikat kontraktor.
“Saya sahkan saya tidak pernah menerima apa-apa sumbangan daripada 54 buah syarikat yang disenaraikan di dalam surat ini.
“Saya tiada pengetahuan 54 buah syarikat ini pernah memberi sumbangan kepada mana-mana parti politik ataupun tidak,” ujarnya.
Tengku Zafrul menyatakan demikian ketika membacakan pernyataan saksi sewaktu memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Muhyiddin yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan kes Janawibawa.
Bekas Menteri Kewangan itu selanjutnya mengesahkan, Syarikat KCJ Engineering Sdn Bhd telah disenaraikan di nombor 31 dalam senarai cadangan 54 kontraktor untuk membina jalan
baharu menyambung Felda Bukit Jalor ke Gemas, Negeri Sembilan bernilai RM100 juta.
“Saya sahkan KCJ Engineering tidak pernah menghantar sebarang surat permohonan kepada saya sendiri dan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan projek itu sama ada melalui pos ataupun datang berjumpa saya.
“Saya mengesahkan tidak mempunyai apa-apa kepentingan dengan KCJ Engineering dan tidak pernah menerima apa-apa ganjaran kewangan daripada syarikat ini dan juga syarikat-syarikat lain yang disenaraikan,” ujarnya.
Menurut beliau, KCJ Engineering lulus penilaian kali kedua dan disyorkan bagi projek tersebut berdasarkan keputusan Jawatankuasa Penilaian Kontraktor Program Janawibawa yang telah bermesyuarat pada 26 Februari 2021.
“Jika tiada surat Perdana Menteri bertarikh 13 November 2020, proses perolehan ke atas syarikat KCJ Engineering tidak akan dijalankan dan memorandum ini tidak akan disediakan bagi kelulusan pelantikan syarikat itu,” ujarnya.
“Sepanjang program Janawibawa berjalan, semua syarikat kontraktor yang dilantik secara rundingan terus adalah syarikat yang dicadangkan oleh Pejabat Perdana Menteri.
“Pihak Kementerian Kewangan hanya berperanan sebagai pelaksana dari segi penilaian dan juga memuktamadkan lantikan syarikat setelah melepasi syarat-syarat dan peraturan yang berkuatkuasa,” ujarnya.
Menurut beliau, perdana menteri tidak mempunyai kuasa menentukan sama ada sesuatu projek dilaksanakan secara rundingan terus atau tender pra-kelayakan, sebaliknya kuasa untuk meluluskan kaedah perolehan tersebut terletak pada Menteri Kewangan.
Tengku Zafrul selanjutnya berkata, berkenaan senarai 54 buah syarikat beserta agihan projek di dalam surat ini, beliau tidak mengetahui bagaimana Pejabat Perdana Menteri (PMO) membuat penilaian terhadap syarikat dan pemilihan projek berkenaan.
Beliau turut mengesahkan, syarikat-syarikat di dalam dokumen ini juga disenaraikan PMO, bukannya daripada beliau mahupun Kementerian Kewangan.
“Saya juga tiada pengetahuan sama ada syarikat-syarikat yang disenaraikan oleh Tan Sri Mahiaddin Yassin mempunyai kepentingan dengan beliau kerana ia tidak pernah memaklumkan kepada saya,” ujarnya.
Menurut Tengku Zafrul, beliau juga tidak mengetahui bagaimana Muhyiddin mendapat nama 54 syarikat itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung esok.
Muhyiddin, 78, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette















