LOGO BARU TABUNG HAJI
Lembaga Tabung Haji

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan bakal jemaah haji bagi musim 1448H/2027M dan 1449H/2028M supaya membuat persediaan awal, khususnya dari aspek kesihatan, kewangan, kemas kini maklumat serta penguasaan ilmu fardu ain dan ibadah haji.

TH dalam satu kenyataan berkata, persediaan yang rapi dan tersusun penting bagi memastikan bakal jemaah memenuhi syarat kemampuan (istito’ah), sekali gus melayakkan mereka menerima surat tawaran menunaikan haji apabila tiba giliran.

“Bakal jemaah digalakkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan kendiri lebih awal dan meningkatkan kecergasan fizikal dan mental memandangkan pelaksanaan ibadah haji menuntut ketahanan fizikal yang tinggi dalam persekitaran yang ramai dan mencabar serta pendedahan kepada cuaca berdebu dan panas.

“Jemaah haji dijangka perlu berjalan sekitar 10,000 langkah setiap hari dan kira-kira tujuh kilometer sehari bagi melaksanakan ibadah melontar jamrah di Mina,” menurut kenyataan itu hari ini.

Dalam pada itu, TH mengingatkan bakal haji supaya meningkatkan simpanan secara berkala dan konsisten kerana sekurang-kurangnya RM15,000 diperlukan sebagai penanda aras minimum untuk melayakkan seseorang menerima surat tawaran haji.

Menurut TH, syarat tersebut diperkenalkan sejak musim haji 1447H/2026M dan telah memberi kesan positif terhadap tahap kesiapsiagaan bakal jemaah.

Kos haji bagi musim 1448H/2027M masih belum ditetapkan, namun kos musim haji 1447H/2026M sebanyak RM33,300 seorang boleh dijadikan rujukan awal bagi merancang simpanan.

Bagi memudahkan pendeposit membuat simpanan secara konsisten, TH menyediakan kemudahan potongan gaji serta potongan terus daripada akaun bank (direct debit) menerusi platform THiJARI.

Selain itu, Kursus Asas Haji bagi membantu bakal jemaah dan orang awam mendalami ilmu ibadah haji dijadual bermula pada 25 September depan.

TH turut mengingatkan bakal jemaah supaya memastikan Pasport Malaysia Antarabangsa berada dalam tempoh sah serta mengemas kini maklumat peribadi menerusi aplikasi THiJARI atau di cawangan TH berhampiran bagi memudahkan urusan perhubungan.

Menurut kenyataan itu, bakal jemaah juga disaran mengikuti laman web dan saluran media sosial rasmi TH untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan urusan haji.

“Makluman peringatan awal akan disampaikan melalui aplikasi THiJARI, pesanan SMS dan e-mel rasmi TH.

“Surat tawaran rasmi untuk menunaikan haji akan dikeluarkan secara berasingan kepada bakal jemaah yang layak mengikut syarat dan prosedur yang ditetapkan TH,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast