Tun Ramli Ngah Talib menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku ASEAN Pulau Pinang dan Festival Kaligrafi Perpaduan 2026 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Teknologi kecerdasan buatan (AI), platform digital dan media kreatif wajar dimanfaatkan sebagai medium memperluaskan seni kaligrafi kepada generasi muda agar warisan budaya itu terus dipelihara dan kekal relevan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pendekatan berkenaan penting untuk memastikan seni kaligrafi terus berkembang seiring perkembangan teknologi tanpa mengorbankan nilai tradisi yang menjadi identitinya.

Katanya, seni kaligrafi merangkumi khat Jawi, kaligrafi Cina, Tamil dan pelbagai bentuk tulisan tradisional lain bukan sahaja mempunyai nilai estetika yang tinggi, malah menjadi lambang ketamadunan serta mencerminkan pemikiran dan jati diri masyarakat pelbagai etnik.

“Pendigitalan karya, pameran virtual, aplikasi pembelajaran kaligrafi serta kolaborasi antara artis dan teknologi boleh menjadi langkah ke hadapan dalam memastikan seni ini kekal relevan.

“Dengan pendekatan ini, warisan tradisi dan inovasi moden dapat digabungkan secara harmoni, sekali gus memastikan seni kaligrafi terus berkembang seiring zaman tanpa kehilangan nilai aslinya.

“Selain itu, Festival Kaligrafi Perpaduan yang memasuki tahun kedua penganjuran terus menjadi wadah memperkenalkan keindahan seni tulisan daripada pelbagai budaya kepada masyarakat,” katanya.

Aaron Ago.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku ASEAN Pulau Pinang dan Festival Kaligrafi Perpaduan 2026 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di sini, malam tadi.

Acara perasmian disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib. Hadir sama isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.

Dalam perkembangan lain, Aaron Ago berkata, tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat apabila purata bacaan tahunan bertambah daripada dua buku pada 2005 kepada 15 buku pada 2015 dan 24 buku pada 2023, dengan 88.6 peratus rakyat kini mengamalkan budaya membaca.

“Daripada jumlah purata 24 buah buku yang dibaca setahun, sebanyak 16 buah dibaca dalam bentuk fizikal manakala lapan lagi dibaca secara digital.

“Kita melalui Perpustakaan Negara akan terus memperluaskan akses kepada bahan bacaan fizikal dan digital termasuk menerusi platform u-Pustaka, selaras dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara membaca menjelang 2030,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast