Pegawai SPR bertugas menjaga peti undi ketika proses mengundi berlangsung di Dewan Kuaters Perumahan polis IPD Segamat

SEGAMAT – Sebelum bertugas mengawal pusat mengundi dan memastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung aman, ratusan pegawai serta anggota polis di Segamat terlebih dahulu melaksanakan satu lagi amanah penting iaitu mengundi calon pilihan mereka.

Tinjauan seawal jam 7.15 pagi para anggota dan pegawai sudah siap sedia untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, di sini dan tepat jam 5 tadi, anggota Suruhajaya Pilihan Raya mengusung keluar peti undi dari Dewan Kuaters Perumahan IPD Segamt.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazan Zahir Chek berkata seramai 401 daripada 402 pengundi awal dalam kalangan pegawai dan anggota polis daerah Segamat selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.

Superintendan Mohd Jumazan Zahir Chek

Ujarnya hanya seorang tidak hadir kerana berada di Tanah Suci Mekah.

“Proses pengundian awal berlangsung lancar di empat pusat mengundi iaitu Balai Polis Labis, Balai Polis Tenang, Dewan Kuarters Perumahan Polis di Jalan Segamat-Muar serta Kem Segamat.

Mohd Nor Azam Mohd Razali terus keluar bertugas selepas selesai membuang undi

“Pengundian itu melibatkan anggota polis yang berdaftar sebagai pengundi di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Labis, Bekok dan Jementah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Jumazan sejurus selesai mencelup jari,  sebahagian besar anggota terus kembali menyarung tanggungjawab mereka sebagai penjaga keselamatan pilihan raya.

Koperal Hamizi Hashim

Dalam perkembangan sama katanya seramai 810 pegawai dan anggota polis akan digerakkan sepanjang PRN Johor pada Sabtu ini bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar, selamat dan terkawal.

Menurutnya, penugasan itu meliputi kawalan di pusat-pusat mengundi, pemantauan keselamatan, pengiringan peti undi serta memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

Tinjauan MalaysiaGazette di pusatpengundian awal mendapati proses membuang undi berjalan dalam suasana tenang dan teratur, dengan anggota hadir seawal pagi sebelum kembali menjalankan tugasan masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast