JOHOR BAHRU – Seramai 4,257 atau 36.3 peratus anggota dan pegawai polis di seluruh negeri ini sudah menunaikan tanggungjawab mengundi awal setakat pukul 10 30 pagi ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, setakat ini, proses pengundian awal berjalan lancar dan pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan sebarang insiden.
“Kenyataan rasmi termasuk statistik bagi anggota dan pegawai bagi Kontinjen Polis Johor yang keluar menunaikan tanggungjawab akan dikeluarkan pukul 5 petang ini selepas semua pusat mengundi awal ditutup.
“Kita juga akan keluarkan jumlah kes-kes yang dilaporkan iaitu kesalahan semasa berkempen sejak hari penamaan calon pada 27 Jun lalu hingga semalam,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas selesai mengundi di Dewan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) No 2, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Kata Ab Rahaman, antara kes kesalahan semasa berkempen yang paling banyak dilaporkan adalah berkaitan perbuatan khianat.
Di pusat pengundian awal itu, seramai 1,338 pegawai dan anggota akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang.
Untuk rekod, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 menyaksikan persaingan sengit membabitkan 172 calon yang merebut 56 DUN Johor.
Tempoh berkempen bagi pilihan raya negeri kali ini berbaki tiga hari lagi sebelum 2.7 juta pengundi keluar mengundi Sabtu ini.- MalaysiaGazette
















