KOTA TINGGI – Menyedari hakikat lebih separuh daripada landskap pengundi di DUN N34 Panti dikuasai oleh generasi baharu, calon Barisan Nasional (BN), Dr Muhammad Naqib Ghazali, mengambil pendekatan progresif dengan memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial sebagai medium utama berkempen demi meraih sokongan anak muda.
Langkah strategik itu dilihat amat signifikan memandangkan DUN Panti memiliki sekitar 41,000 pengundi dengan 52 peratus daripadanya merupakan pengundi muda yang berusia di bawah 40 tahun.
Menurutnya, kehadiran secara digital menerusi platform seperti Facebook, Instagram, dan TikTok bukan sekadar trend, tetapi ruang terbaik untuk membentangkan rekod perkhidmatan dan tawaran pembangunan BN secara telus agar dapat dinilai sendiri oleh golongan tersebut.
“Sebenarnya, saya sudah mula mendekati dan menggunakan platform media sosial ini secara optimum.
“Ini adalah wadah terbaik untuk saya berinteraksi dengan anak muda termasuk mereka yang sedang menuntut di universiti.
“Bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan saya di Facebook, IG (Instagram) dan TikTok Dr Naqib Ghazali, mereka boleh melihat dan menilai sendiri apa yang telah kita laksanakan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pertandingan Bola Tampar Anak Muda di sini.

Jelasnya, berbaki kurang seminggu berkempen, gelombang sokongan yang diterima begitu baik khususnya daripada anak muda.
Dalam pada itu, Dr Naqib yang menggariskan manifestonya yang menyentuh terus keperluan mendesak generasi muda, khususnya dalam aspek penyediaan perumahan mampu milik serta tadbir urus yang telus.
“Says melihat aura kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Ionn Hafiz Ghazi turut menjadi pemangkin utama yang meyakinkan semua lapisan umur terhadap kestabilan yang dibawakan oleh parti.
“Sebagai anak tempatan yang juga seorang doktor perubatan, saya mahu membawa perubahan yang realistik dalam tempoh lima tahun.
“Di samping rancangan memajukan infrastruktur asas di kawasan kampung Orang Asli dan penempatan Felda seperti Felda Lenggiu, saya melihat masa depan anak muda Panti berkait rapat dengan potensi ekonomi setempat.
“Saya ingin sekali memperkasakan produk pelancongan domestik sedia ada seperti aktiviti rekreasi di Gunung Panti, Gunung Muntahak dan sukan permotoran lasak bertaraf antarabangsa,” katanya.
Tambahnya lagi, pada masa sama, beliau mahu melihat anak muda Panti tidak tercicir daripada menerima limpahan peluang pekerjaan berimpak tinggi hasil kedudukan geografi DUN ini yang terletak bersebelahan dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Dulu saya seorang doktor yang merawat pesakit, tetapi kali ini saya mahu menjadi ‘doktor untuk rakyat’.
“Kita mahu permudahkan urusan, pendekkan birokrasi, dan pastikan anak muda tempatan mendapat manfaat ekonomi yang maksimum di bumi Panti ini,” katanya. -MalaysiaGazette
















