KUALA LUMPUR – Modern Living Event Sdn. Bhd. akan menganjurkan pameran rumah sehenti terbesar selama empat hari di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula 16 Julai ini yang menghimpunkan pelbagai jenama dan kategori merangkumi renovasi rumah, peralatan elektrik dan perabot di bawah satu bumbung.
Bertemakan Massive Upgrade, edisi Modern Living Home Expo kali ini hadir dengan skala lebih besar, banyak kategori dan jenama sekali gus menawarkan nilai ganjaran paling lumayan kepada pengunjung untuk berbelanja.
Syarikat itu berkata, bagi golongan yang sedang mengubah suai kediaman, berpindah ke rumah baharu atau sekadar mencari tawaran terbaik untuk peralatan rumah, ekspo menawarkan penyelesaian renovasi sehingga kepada sistem solar dan teknologi rumah pintar.
“Pengunjung boleh mencuba sendiri produk, membandingkan harga secara terus serta mendapatkan khidmat nasihat pakar dan konsultasi peribadi secara percuma,” katanya.

Tarikan utama edisi kali ini ialah kempen Massive Gift Upgrade di mana hadiah percuma berjenama untuk pembeli dinaik taraf secara besaran merangkumi produk daripada jenama terkemuka seperti Sharp, Dyson dan LG sehinggalah mata ganjaran AirAsia bernilai sehingga RM1,800.
“Setiap pembelian di tapak ekspo turut dijamin dengan hadiah percuma berjenama dan baucar tunai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Modern Living Event menambah, kemuncak acara apabila pengunjung yang berbelanja di ekspo berpeluang memenangi sebuah kereta elektrik Proton e.MAS 5 Prime menerusi cabutan bertuah yang akan berlangsung pada 19 Julai ini pukul 7.30 malam di Stadium Bukit Jalil. – MalaysiaGazette

















