KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan memberi jaminan insiden letupan bom tangan di Kem Hobart, Kedah yang telah mengorbankan dua anggota tentera baru-baru ini tidak akan menjejaskan latihan ketenteraan di kem berkenaan.
Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, pihaknya telah menyemak prosedur operasi standard (SOP) dan meneliti ruang untuk memperbaikinya.
“Siasatan berhubung kes berkenaan masih dijalankan dan pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menguruskan keluarga mangsa dengan baik dan apa yang mereka layak terima.
“Segala pengurusan berkaitan anggota yang terkorban telah diuruskan sebaik mungkin. Saya sendiri menziarahi keluarga mangsa di Alor Setar pada Sabtu lalu dan bertemu isterinya.
“Walaupun anggota itu telah terkorban, keluarganya tetap sebahagian daripada keluarga Tentera Darat dan kita akan terus membantu mereka,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA’27) di sini hari ini.
Malek Razak selanjutnya berkata, pihaknya turut meneliti aspek fasiliti dan pemantauan di Kem Hobart bagi memastikan penambahbaikan dapat dilaksanakan.
“Insiden yang berlaku tidak menghalang kita untuk meneruskan latihan bagi meningkatkan kesiapsiagaan,” ujarnya.
Dua hari lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, laporan penuh siasatan berhubung insiden letupan bom tangan di Kem Hobart, Gurun, dijangka diperolehi pertengahan bulan ini.
Ujarnya, sebarang tindakan lanjut akan diputuskan selepas pihaknya menerima hasil dapatan berkenaan.
Dalam insiden 16 Jun lalu, dua anggota tentera maut dalam letupan bom tangan ketika menjalani latihan di lapang sasar sama.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Kem yang sama turut merekodkan insiden kedua pada 29 Jun lalu hingga menyebabkan dua anggota tentera cedera di bahagian paha akibat terkena serpihan objek yang melantun ketika melakukan latihan senjata berat. – MalaysiaGazette
















