Trak polis yang dipercayai membawa suspek kes tikaman membabitkan seorang pelajar tiba bagi permohonan reman di Mahkamah Majistret Telok Datok. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 JULAI 2026.

BANTING – Seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun direman empat hari di Mahkamah Telok Datok selepas disyaki menikam rakannya dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmal Rizal Razi ketika dihubungi mengesahkan, perintah reman ke atas suspek dikeluarkan bermula hari ini oleh Majistret Maslinda Selamat.

“Reman ke atas suspek bermula 7 Julai hingga 10 Julai ini,” katanya secara ringkas ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili suspek, Vijes Suppiah berkata, anak guamnya itu merupakan orang kelainan upaya (OKU) autisme.

Mahkamah Majistret Telok Datok bagi mengikuti permohonan reman suspek kes tikaman membabitkan seorang pelajar, di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 JULAI 2026.

Terdahulu, suspek dibawa ke mahkamah dengan menaiki sebuah lori dan dikawal ketat anggota polis pukul 8.10 pagi.

Kemudian, dia dibawa keluar dari mahkamah berkenaan dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Aruz sekitar 9 pagi.

Semalam, media melaporkan, suspek dalam kejadian kes tikam seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Banting telah ditahan.

Mohd Akmalrizal dilaporkan berkata, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian itu dipercayai berlaku antara 9.30 hingga 10 pagi sebelum pihaknya menerima panggilan daripada orang awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast