Najib Samuri menyantuni masyarakat Cina ketika berkempen di Parit Yaani, Batu Pahat

BATU PAHAT – Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri akan melaksanakan gerak secara ‘Media Sosial Boost’ ketika pecutan terakhir dalam kempennya yang berbaki beberapa hari lagi.

Katanya, antara yang dilaksanakan menerusi kaedah berkenaan adalah menjadikan kempennya lebih mikro dengan menggunakan media sosial kepada golongan sasar yang aktif menggunakan media baharu terbabit.

Beliau berkata, sekarang ini semua orang ada memiliki telefon pintar termasuk yang berumur 60 tahun dan ke atas sekali gus golongan ini tidak ketinggalan untuk menggunakan sekurang-kurang satu aplikasi seperti What’s App atau sebagainya.

“Itu yang akan kita laksanakan dengan berkempen menerusi media sosial dan akan perbanyakkan lagi kandungan semasa berkempen yang ia dilihat medium terbaik untuk tatapan pengundi yang tidak berada di kawasan.

“Ia juga sebagai rekod bagi kami untuk membuktikan yang sememangnya komited dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawab, bukan sahaja ketika adanya pilihan raya,” katanya ketika ditemui.

Beliau yang juga penyandang kerusi DUN Parit Yaani memberitahu turut akan mendekati, menziarahi dan juga mengadakan perjumpaan dengan orang banyak pengaruh yang kebanyakannya adalah golongan veteran.

“Sebelum ini kita lawati dari rumah ke rumah warga emas, pesakit terlantar, orang kurang upaya (OKU) dan fakir miskin tetapi bagi pecutan akhir ini, kita akan turut menziarahi bekas pemimpin, bekas ketua kampung, bekas imam yang telah banyak berjasa selama ini.

“Kita juga akan mengadakan perjumpaan dengan imam, bilal, ketua masyarakat sedia ada dengan pertemuan itu dilaksanakan secara santai ketika minum petang dan sebagainya,” katanya.

Menurut Najib, perkara terakhir yang akan dilaksanakan pihaknya adalah dengan mengadakan solat hajat dan bacaan Surah Yassin.

Bagi pengundi luar pula, yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar institut pengajian tinggi (IPT), beliau mengharapkan agar golongan itu akan dapat pulang melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast