Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali ketika sidang media selepas Pelancaran Rasmi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA’27) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 JULAI 2026

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan menyasarkan perolehan bagi menggantikan sistem peluru berpandu antikapal (NSM) dari Norway untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) akan diselesaikan dalam tempoh dua atau tiga tahun.

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, empat negara telah disenarai pendek berdasarkan penilaian operasi dan teknikal yang dilakukan oleh kementerian dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menurut beliau, empat negara yang berpotensi untuk dipertimbangkan ialah Perancis, Turkiye, Itali dan Korea Selatan, namun tender mengenainya masih belum dibuka.

“Ia proses yang baharu, mungkin dapat dilakukan dalam tempoh dua atau tidak tahun, kita kena lihat semula bajet dan sebagainya.

“Kita perlu proses semula dari awal (untuk dapat sistem yang sesuai) daripada sistem yang sedia ada sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA 2027) di sini hari ini.

Beliau sebelum itu ditanya berapa negara yang sudah dipertimbangkan untuk menggantikan NSM yang dibatalkan Norway dan masa yang diperlukan untuk memuktamadkannya.

Sehubungan itu, Malek Razak memberi jaminan keselamatan perairan negara tidak akan terjejas ekoran pembatalan NSM dari Norway.

Kementerian Pertahanan semalam memaklumkan, TLDM dijangka melengkapkan penilaian teknikal terhadap sistem peluru berpandu antikapal baharu NSM.

Menterinya, Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin berkata, TLDM kini sedang giat menjalankan kajian dan penilaian terhadap beberapa sistem surface-to-surface missile (SSM) yang berpotensi menggantikan sistem NSM keluaran Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast