PATI yang ditahan dalam Ops Kutip, semalam - Foto: Facebook JIM Kedah

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Ops Kutip  di sebuah pusat beli-belah yang menjadi tumpuan warga asing di negeri itu semalam.

Operasi bermula kira-kira pukul 10.30 pagi itu dilaksanakan hasil aduan awam dan risikan berhubung kehadiran warga asing yang disyaki tidak mempunyai dokumen perjalanan atau permit imigresen yang sah.

Menurut JIM Kedah, operasi tersebut melibatkan sembilan pegawai daripada Unit Tindakan Imigresen negeri.

“Hasil pemeriksaan ke atas 13 individu mendapati mereka terdiri daripada empat warga Malaysia, empat warga Bangladesh, empat warga Indonesia dan seorang warga Myanmar.

“Daripada jumlah itu, sembilan warga asing ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] iaitu berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah,” menurut kenyataan hari ini.

Mereka yang ditahan membabitkan empat lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki dan tiga wanita warga Indonesia serta seorang wanita warga Myanmar berusia antara 23 hingga 46 tahun.

Kesemua mereka dibawa ke Depot Imigresen Belantik untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Dalam operasi sama, pihak imigresen turut mengeluarkan satu Borang Imm.29 (Saman Kepada Saksi) bagi membantu siasatan.

Menurut JIM Kedah, lokasi berkenaan pernah diserbu pada April lalu dan operasi susulan itu membuktikan komitmen berterusan jabatan dalam memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI.

Jelasnya, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan warga asing dan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau majikan yang melindungi, menggaji atau bersubahat dengan PATI.

Orang ramai turut diseru menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI atau sebarang pelanggaran undang-undang imigresen kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi membolehkan tindakan segera diambil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast