MERSING – Berbekalkan pendekatan turun padang tanpa gimik, calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Endau, Ts Saiful Nizam Samat dilihat semakin mencuri perhatian pengundi apabila memilih mendekati rakyat dari rumah ke rumah sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Anak tempatan generasi ketiga Endau itu dilihat lebih banyak meluangkan masa bertemu nelayan, peniaga kecil, belia dan warga emas, berbanding mengadakan kempen berskala besar dengan sambutan diterima semakin menggalakkan.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Saiful berkata, sokongan yang diterima setakat ini memberi keyakinan masih ramai rakyat mahukan wakil rakyat sentiasa bersama mereka bukan sekadar muncul ketika musim pilihan raya.
“Saya tidak datang membawa janji yang terlalu besar. Saya hanya mahu menjadi wakil rakyat yang sentiasa ada apabila rakyat memerlukan.
“Bagi saya, politik bukan sekadar menang pilihan raya, tetapi membina semula keyakinan rakyat terhadap khidmat yang ikhlas,” katanya.

Menurut beliau, pengalaman lebih 15 tahun dalam industri automasi selain pernah melanjutkan pengajian kejuruteraan di Jerman memberinya perspektif lebih luas mengenai keperluan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti khususnya untuk golongan muda di Endau.
Saiful yang turut memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) kini sedang mengikuti pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang ekonomi itu memilih pulang ke kampung halaman kerana mahu menyumbang kepada pembangunan kawasan kelahirannya.
“Saya anak Endau. Saya membesar di sini dan saya tahu apa yang diperlukan oleh masyarakat nelayan, belia, peniaga kecil serta komuniti Orang Asli.
“Sebab itu saya memilih untuk pulang. Ilmu dan pengalaman yang saya ada biarlah dimanfaatkan di tempat sendiri,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh berkempen, antara isu paling kerap dibangkitkan pengundi ialah peluang pekerjaan, kos sara hidup, ekonomi nelayan, pendidikan anak-anak, latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kemudahan asas.
Katanya, masyarakat Cina yang membentuk hampir 30 peratus daripada keseluruhan pengundi di Endau turut berharap lebih banyak peluang ekonomi diwujudkan bagi merancakkan pembangunan kawasan itu.
Dalam masa sama, suasana kempen di Endau turut memperlihatkan semakin ramai penduduk hadir ke pusat operasi bagi mendapatkan bahan kempen untuk dipasang di kediaman masing-masing selain sukarelawan yang tampil membantu tanpa mengharapkan sebarang imbuhan.

DUN Endau menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan calon PH, Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan seorang calon Bebas.
Kerusi itu turut menjadi antara tumpuan pada PRN kali ini berikutan penyandangnya sebelum ini melalui episod pertukaran parti sebanyak dua kali, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengundi.
Endau yang mempunyai 24 Pusat Daerah Mengundi (PDM) merupakan kawasan pesisir pantai di utara Johor dengan ekonomi yang banyak bergantung kepada sektor perikanan, pelancongan, perusahaan kecil dan aktiviti perniagaan tempatan.
Selain masyarakat Melayu sebagai majoriti, DUN itu turut mempunyai komuniti Cina yang signifikan serta penempatan Orang Asli, menjadikan isu peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi dan kemudahan asas antara fokus utama pengundi pada PRN kali ini. – MalaysiaGazette
















