Kereta dinaiki kemalangan selepas lari dari sekatan jalan raya

KUANTAN – Polis berjaya menahan tiga individu warganegara Myanmar yang melarikan diri selepas mengelak sekatan jalan raya di Kilometer (km) 28, Jalan Lipis-Merapoh, Lipis petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, ketiga-tiga mereka iaitu dua lelaki dan seorang wanita itu berjaya ditahan kira-kira 8.45 pagi ini di dalam ladang kelapa sawit berhampiran kawasan tersebut.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira 4.30 petang ketika mereka menaiki sebuah kereta dipandu lelaki tempatan bersama dua lagi penumpang juga warganegera Myanmar.

“Hasil siasatan awal mendapati, kereta jenis BMW dipandu seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun bersama lima penumpang warganegara Myanmar itu dari Kelantan menuju ke Kuala Lumpur.

“Apabila sampai di sekatan jalan raya, pemandu bertindak memecut laju menuju ke arah Lipis melarikan diri dari sekatan jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kereta tersebut telah terbabas ke sebelah kiri jalan kira-kira lima km dari lokasi sekatan jalan raya dan melanggar sebuah tangki air di hadapan sebuah kedai makan di tepi jalan itu.

Akibat kemalangan terbabit, pemandu kereta dan dua daripada penumpangnya mengalami kecederaan, manakala tiga lagi warganegara Myanmar itu telah melarikan diri dari lokasi kemalangan.

“Pemandu dan dua penumpang yang cedera itu telah ditahan untuk siasatan lanjut. Ketiga-tiga warganegara Myanmar yang melarikan diri pula ditahan kira-kira dua km dari lokasi kemalangan dan didapati mengalami cedera ringan.

“Hasil saringan awal ujian air kencing turut mendapati pemandu kereta positif dadah jenis methamphetamine. Kesemua penumpang warganegara Myanmar itu pula tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Ismail berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast