JOHOR BAHRU – Rasa kecewa kerana mendakwa kepimpinan parti gagal menghargai peranan jentera wanita menjadi antara faktor yang mendorong bekas Ketua Penerangan Srikandi Bersatu Bahagian Pulai, Rafidah Ani mengumumkan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Rafidah berkata, beliau pernah memberikan komitmen penuh kepada Bersatu termasuk membantu parti ketika pilihan raya sebelum ini, namun merasakan pengorbanan dan usaha jentera Srikandi tidak pernah dihargai oleh kepimpinan bahagian.

Menurutnya, beliau menyertai Bersatu selepas meninggalkan UMNO dan terus aktif menggerakkan jentera wanita kerana percaya mampu membawa perubahan kepada masyarakat.

“Saya memang all out untuk parti. Apa sahaja program dan gerak kerja parti, saya turun padang. Tetapi apabila melihat bagaimana Srikandi dilayan, saya rasa sangat kecewa.

“Kami seolah-olah dianaktirikan di peringkat bahagian.

“Peranan kami tidak dihargai walaupun kami bekerja bersungguh-sungguh,” katanya ketika mengumumkan sokongan kepada calon PH bagi kerusi N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd. Puad di hadapan Bilik Gerakan Utama Harapan Kempas, di sini, malam ini.

Beliau berkata, pengalaman sepanjang berada dalam dunia politik turut mengajarnya bahawa rakyat lebih memerlukan pemimpin yang sanggup membantu tanpa mengira latar belakang parti.

Jelasnya, sebelum menyertai Bersatu, beliau pernah memegang jawatan Ketua Puteri UMNO di peringkat cawangan dan Ahli Jawatankuasa Puteri UMNO Bahagian Johor Bahru.

“Namun, selepas memilih haluan politik berbeza, saya berdepan pelbagai kesukaran termasuk layanan berbeza apabila memohon bantuan.

“Apabila orang sudah melabel kita melompat parti, kita pula yang susah hendak mendapatkan bantuan. Ada yang menyuruh saya meminta bantuan daripada parti yang saya sertai ketika itu.

“Sedangkan saya tinggal di Kempas dan saya hanya mahu membantu masyarakat. Saya tidak fikir soal parti apabila melibatkan kebajikan rakyat,” katanya.

Rafidah turut berkongsi pengalaman peribadi apabila bantuan yang paling memberi kesan kepadanya datang daripada wakil PH.

Menurut beliau, ketika anaknya memerlukan bantuan berkaitan pendidikan, beliau mendakwa menerima bantuan daripada wakil PH sehingga membuatkan beliau tersentuh dengan pendekatan yang ditunjukkan.

“Apabila anak saya hendak belajar, bantuan yang saya perlukan ketika itu datang daripada wakil PH.

“Perkara itu benar-benar menyentuh hati saya kerana ketika saya memerlukan bantuan, mereka hadir tanpa melihat latar belakang politik saya,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pengalaman itu menguatkan lagi keyakinannya bahawa budaya politik perlu berubah dengan meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.

“Saya mahu mengajak rakan-rakan yang mengenali saya supaya memberi peluang kepada calon baharu yang benar-benar mahu bekerja untuk rakyat.

“Pemimpin tidak sepatutnya bersikap sombong atau memilih siapa yang hendak dibantu. Apabila tiba pilihan raya, inilah masanya untuk kita mendekati rakyat dan memenangi hati mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast