MUAR – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada Sabtu ini tidak akan menggambarkan sepenuhnya terhadap apa yang akan berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, politik di Johor disifatkan `istimewa’ yang mana disifatkan jauh berbeza berbanding konteks nasional serta di negeri-negeri lain.
Beliau yang juga Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik UMT menambah, kempen dan keputusan PRN Johor kelak bukanlah petunjuk terbaik untuk bentuk kerjasama politik nasional selepas ini.

Menurutnya, beliau menyedari ada pihak yang cuba menjadikan platform PRN Johor ketika ini sebagai medan untuk memecahkan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat nasional.
Malah, tambahnya, di dalam PH dan BN sendiri turut ada yang terbawa-bawa dengan agenda tersebut.
“Tapi pada pandangan saya, menuju PRU16, kerjasama PH-BN masih lagi model yang ideal untuk Malaysia,” katanya menerusi Facebooknya.
Tambah Mohd Yusri, sekiranya gabungan dan kerjasama PH-BN bukan lagi pilihan, alternatif lain yang ideal adalah PH dengan kumpulan PN yang diketuai Pas.
Menurutnya, ia berdasarkan pertimbangan ideal yang mana kerjasama itu berupaya membentuk kerajaan yang kukuh serta mempunyai perwakilan etnik yang seimbang mewakili ciri-ciri sebenar komposisi rakyat Malaysia.
Tambahnya, jika kerajaan yang dibentuk lebih bersifat mono etnik, adalah sukar untuk negara dan rakyat mencapai ketenangan.
“Hingar-bingar akan berterusan sehingga bakal mengganggu banyak perkara.
“Akhirnya walaupun pilihan raya berakhir, kita akan terus berpolitik pada ketegangan tinggi, menyebabkan hilang fokus untuk membangun negara, mengukuh ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















