JOHOR BAHRU – Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong menggunakan pentas kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap ancaman sindiket penipuan pinjaman.
Sebelum itu Timbalan Menteri Kewangan itu menemui seorang warga emas yang hampir menjadi mangsa scam.
Beliau berkata, kejadian itu berlaku ketika mengadakan walkabout bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad di Kangkar Pulai dan beliau didatangi seorang lelaki berusia sekitar 70-an yang bertanyakan mengapa kerajaan mengenakan cukai terhadap pinjaman.
Menurutnya, soalan itu pada mulanya menimbulkan kehairanan sebelum beliau meminta lelaki terbabit menunjukkan dokumen berkaitan tawaran pinjaman berkenaan.
“Apabila saya minta dia tunjukkan dokumen, katanya dia tiada sebarang surat dan hanya menerima tawaran melalui telefon.
“Menurutnya, pemanggil yang mendakwa daripada sebuah bank menawarkan pinjaman RM95,000 dengan kadar faedah 2.75 peratus tetapi meminta deposit RM500 terlebih dahulu kerana mendakwa ia adalah ‘cukai kerajaan’,” tulisnya dalam Facebook hari ini. 
Chin Tong berkata, beliau segera menjelaskan tiada institusi kewangan yang sah akan menawarkan pinjaman tanpa dokumen rasmi serta tandatangan peminjam dan apa yang berlaku itu adalah penipuan.
Beliau berkata, pengalaman itu menunjukkan sindiket penipuan kini semakin licik dengan menggunakan pelbagai alasan termasuk mengaitkan bayaran pendahuluan dengan kononnya cukai kerajaan bagi meyakinkan mangsa.
Menurutnya, golongan warga emas antara yang paling mudah menjadi sasaran sekiranya tidak mempunyai maklumat mencukupi mengenai modus operandi sindiket berkenaan.
Sebagai Timbalan Menteri Kewangan, Chin Tong memberi perhatian serius terhadap usaha memperkukuh pendekatan kerajaan dalam membanteras jenayah penipuan kewangan yang semakin membimbangkan.
“Insiden ini menaikkan semangat saya untuk memastikan orang ramai lebih memahami strategi dan taktik kotor scam serta tindakan segera kerajaan dalam melawan jenayah ini,” ujarnya.
Beliau berkata, tempoh berkempen juga menjadi peluang kepada pemimpin untuk mendengar sendiri pelbagai masalah yang dihadapi rakyat termasuk isu penipuan kewangan yang memberi kesan kepada kehidupan seharian.
Sehubungan itu, Chin Tong menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang bayaran pendahuluan bagi mendapatkan pinjaman, selain sentiasa menyemak kesahihan tawaran dengan institusi kewangan sebelum menyerahkan wang atau maklumat peribadi kepada mana-mana pihak. – MalaysiaGazette
















