BATU PAHAT – Kira-kira tiga dekad lalu, Halidan Ithnin, 60, tidak memilih kerjaya sebagai pembuat gambus kerana mengejar nama sebaliknya mahu mencari rezeki tanpa perlu berjauhan daripada keluarga.
Selama itu juga, rumah kayu bapa saudaranya, Allahyarham Hassan Othman atau dikenali Pak Hassan di Kampung Parit Hailam di sini ibarat ‘universiti’ kepadanya.
Dari situ, dia mempelajari seni pembuatan gambus berdasarkan pemerhatian sendiri.
Pak Hassan merupakan pembuat gambus terkenal di Johor pada tahun 1970-an yang mempelajari teknik pembuatan
gambus berasal dari wilayah Hadramaut, Yaman itu dengan pembuat kraf terkenal di Singapura.

Hari ini, siapa sangka setelah tiga generasi, tangan yang dahulunya sekadar membantu mengutip kayu terbuang – Halidan kini menjadi antara guru yang terus menghidupkan seni pembuatan gambus.
Lebih bermakna, apabila beliau dianugerahkan gelaran Adiguru Kraf Gambus pada 2023 oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia atas tahap kepakaran tinggi dimilikinya dalam bidang penciptaan dan ketukangan produk kraf yang mempunyai identiti tempatan.
Menceritakan permulaan kisahnya, bapa kepada tiga anak itu berkata, Pak Hassan sudah dianggap sebagai bapa dan gurunya sejak berusia tiga tahun menyebabkan ketika itu kehidupannya dikelilingi dunia pertukangan gambus.

“Bermula dengan membantu mengutip kayu jati hanyut di kawasan sekitar dan pantai, pengalaman itu akhirnya menanam minat terhadap seni pembuatan alat muzik tradisional tersebut.
“Bagaimanapun arwah Pak Hassan tidak pernah mengajar saya secara langsung, sebaliknya saya mempelajarinya melalui pemerhatian selama bertahun-tahun.
“Saya boleh katakan, di rumah kampung itulah menjadi ‘universiti’ saya selama ini sebelum mengambil keputusan cuba menghasilkan alat muzik tradisional sebagai sumber pendapatan pada 1996,” katanya ketika ditemui MalayiaGazette di sini hari ini.

Menurutnya, selepas berkahwin, beliau masih bekerja secara sambilan namun tidak sanggup berjauhan dengan keluarga kerana tuntutan kerja.
“Bagaimanapun, saya tidaklah terus menghasilkan gambus sebaliknya bermula dengan membaiki alat muzik tradisional seperti gendang, marwas dan rebana selain melakukan pelbagai kerja kampung bagi menampung kehidupan.
“Ketika itu permintaan terhadap gambus tidaklah begitu tinggi yang mana sebuah gambus hanya mampu dijual pada harga sekitar RM600 hingga RM900, sedangkan proses menyiapkannya mengambil masa antara tiga hingga empat minggu.
“Orang selalu fikir kalau sebulan siap satu gambus, terus dapat gaji sedangkan hakikatnya bukan begitu malah ada masanya langsung tiada tempahan,” tambahnya.

Perjalanan seni kraftangan Halidan berubah apabila pada 2004 apabila beliau dipelawa menjadi pensyarah pembuatan alat muzik tradisional itu di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di Kuala Lumpur.
Walaupun tidak pernah mengikuti kursus rasmi, beliau diterima mengajar berdasarkan pengalaman puluhan tahun yang diperoleh melalui pemerhatian terhadap kerja tangan Pak Hassan.
Pengalaman di ASWARA sehingga 2013 membuktikan ilmu tradisional mampu diangkat ke peringkat akademik apabila ramai bekas pelajarnya kini bukan sahaja mampu bermain gambus, malah boleh menghasilkan alat muzik tersebut sehingga ke peringkat profesional.

“Sekarang saya bangga sebab ada anak-anak muda yang ada diploma, ijazah dan boleh bermain serta membuat gambus sedangkan kalau dulu, agak sukar mencari anak muda seperti itu.
“Selepas menamatkan perkhidmatan di ASWARA, saya kembali sepenuh masa ke bengkel di Senggarang dan menjadikan pembuatan gambus sebagai sumber rezeki utama sehingga kini.
“Gambus yang dihasilkan saya pula tidak lagi terikut-ikut jenis gambus Hadramaut yang dibawa dari Yaman oleh pedagang Arab pada abad ke-19.
“Sebaliknya diberi wajah Melayu seperti dekorasi berbentuk lada hitam yang mempunyai sejarah tersendiri sebagai tanaman komersial di Johor suatu masa dahulu,” katanya
Menghasilkan sebuah gambus, ia memerlukan penelitian tinggi bermula daripada pemilihan kayu kerana setiap jenis kayu mempunyai karakter bunyi yang berbeza, kata Halidan.
“Saya menggunakan pelbagai spesies kayu tempatan seperti halban atau leban, cempedak, ciku, mahang, waru dan beberapa jenis kayu lain yang terdapat di sekitar kawasan Senggarang.
“Kayu halban berusia antara dua hingga lima tahun misalnya boleh menghasilkan gambus yang lebih ringan tanpa menjejaskan kualiti bunyi.
“Saya suka gunakan kayu yang ‘hidup’ bersama kita walaupun mungkin orang kata kayu luar lebih baik, tetapi saya mahu gambus ini benar-benar mempunyai identiti asal usul tempat kita.
“Bagi saya setiap gambus ada cerita tersendiri sebab itu saya ada ‘perangai’ untuk memilih kayu mengikut pemerhatian saya yang tersendiri termasuk kayu lama atau kayu hanyut kerana setiap satunya mempunyai nilai dan sejarah yang berbeza,” katanya.

Bercerita mengenai harapannya terhadap gambus, Halidan mahu lebih banyak pihak tampil membantu memelihara kesinambungan warisan itu menerusi kursus, insentif dan program latihan yang mampu menarik minat golongan muda.
“Cabaran terbesar bukan menghasilkan gambus sebaliknya memastikan ada generasi baharu yang sanggup mewarisi kemahiran tersebut.
“Saya boleh panggil orang belajar tetapi belum tentu mereka mahu. Kalau ada elaun, kursus atau program khusus mungkin lebih ramai anak muda akan berminat.
“Kalau orang sebut Senggarang, saya harap mereka terus ingat gambus. Walaupun asalnya dari Yaman, sekarang ia sudah menjadi sebahagian daripada warisan kita dan saya bangga bahawa Senggarang ialah tempat lahirnya pembuat-pembuat gambus Malaysia,” katanya.
Tambahnya, beliau berharap warisan gambus terus hidup sehingga apabila orang menyebut Senggarang, mereka akan terus mengingati kampungnya itu sebagai bumi kelahiran pembuat gambus Malaysia. – MalaysiaGazette
















