Nie Ching bertemu orang ramai semasa berkempen untuk Kartiyaini di Chang Fat Kopitiam, Skudai, Johor Bahru, hari ini.

KULAI – Masyarakat diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu dan penyamaran akaun media sosial, khususnya menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, sebaliknya orang ramai diseru menjadi celik digital dan disaran menyemak kesahihan sesuatu maklumat, sebelum dikongsi bagi mengelakkan penyebaran berita palsu.

“Kalau kita tidak pasti, janganlah kita kongsi. Saya rasa internet memang ada kebaikan dia. Kita boleh sampaikan mesej dengan cepat tetapi pada masa yang sama. Ini juga bermakna bahawa berita palsu boleh sampailah setiap orang dengan lebih cepat juga.

“Jadi sebagai seorang pengundi, biarlah kita menjadi lebih celek digital, selalulah buat semakan sebelum kita sebar dengan orang informasi,” ujar Ahli Parlimen Kulai itu.

Beliau berkata demikan kepada pemberita ketika ditemui berkempen untuk calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, J Kartiyaini di Chang Fat Kopitiam, Skudai di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, berbaki dua hari sahaja lagi sebelum hari mengundi PRN Johor, orang ramai khususnya warga Johor yang berada di luar kawasan diseru untuk pulang mengundi, bagi menunaikan tanggungjawab sebagai daftar pemilih.

Pengerusi DAP Johor itu berkata, pelbagai kisah keterujaan dan pengorbanan pengundi yang berada di luar negara dikesan dalam media sosial, bagi memastikan undi mereka dapat tiba sebelum hari pengundian.

Kesungguhan tersebut ujarnya, menjadi gambaran bahawa setiap undi mempunyai nilai yang besar.

“Kita sebenarnya juga nampak ada berita-berita yang sangat menarik and juga menyentuh dalam media sosial. Kita nampak ada seorang pengundi yang sekarang berada di New Zealand tetapi kalau nak hantar undinya melalui DHL dia tak sempat sampai Malaysia, tak sempat sampai Johor sebelum 11 Julai ini.

“Jadi, dia sebenarnya pergi ke lapangan terbang untuk cari orang untuk bawa undinya balik ke Malaysia. Kita nampak juga ada orang tukar tiket mereka balik dari China kerana dia belajar master di China,” katanya.

Justeru, kata beliau, cerita-ceria seperti itu sangat menyentuh hati dan berharap pengundi-pengundi yang bekerja di Kuala Lumpur atau di Singapura pulang untuk mengundi nanti.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast