TANGKAK – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah memohon supaya syarikat penyedia telekomunikasi membina menara baharu di Kampung Seberang Gajah di sini, bagi menyelesaikan masalah liputan internet lemah yang dihadapi penduduknya.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kerja-kerja pembinaan menara telekomunikasi itu diharapkan dapat dilaksanakan dan disiapkan dalam kadar segera.
Terdahulu, ujar beliau, pihaknya menerima aduan daripada penduduk di kampung itu berhubung masalah capaian dan liputan internet lemah sejak lebih tiga tahun lalu.
Ujarnya, ketika ini, sudah terdapat dua menara telekomunikasi berhampiran kampung itu, liputannya didapati tidak meluas dan gagal menampung keperluan penduduk di sekitar Kampung Seberang Gajah secara optimum.

“Susulan itu, pihak MCMC telah memohon agar syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi membina sebuah menara baharu di kawasan tersebut.
“Pelan pembinaan menara baharu ini telah dirancang, dan pihak syarikat kini sedang menunggu kelulusan permit daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum kerja-kerja pembinaan boleh dimulakan,” katanya.
Terdahulu, Nie Ching mengadakan tinjauan bersama para pegawai MCMC dan wakil syarikat-syarikat telekomunikasi di Kampung Seberang Gajah tengah hari tadi.
Turut hadir dalam sesi tinjauan tersebut ialah Ketua Pegawai Sektor Hal Ehwal Negeri, Bukhari Yahya; Pengarah Pejabat Wilayah Selatan MCMC, Rizal Abd Malek serta wakil-wakil syarikat telekomunikasi.
Sementara itu, Nie Ching menzahirkan harapan agar kelulusan dan kerja-kerja pembinaan menara telekomunikasi baharu tersebut dapat disegerakan demi memastikan penduduk setempat dapat menikmati liputan internet yang lebih berkualiti. – MalaysiaGazette
















