Norlisah Safie menunjukkan hidangan Nasi Ambeng Tiga generasi yang diwarisi turun-temurun oleh keluarganya.

SEGAMAT – Kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sahaja dirasai parti politik malah turut membawa limpahan rezeki kepada peniaga tempatan.

Limpahan itu turut dirasai pemilik gerai nasi ambeng milik Norlisah Safie, 53, di Jalan Gudang Ubat yang menjadi tumpuan orang ramai dan petugas kempen PRN.

Gerai yang terkenal menu tradisional Jawa itu diwarisi tiga generasi daripada ibunya, Mawiyah Bisri, 81, meriah seawal pagi hingga lewat petang dengan kehadiran pelanggan dari pelbagai daerah dan negeri.

Nasi ambeng tiga generasi antara menu laku keras menjadi tumpuan orang ramai sepanjang PRN Johor di Segamat

“Selepas DUN dibubarkan, suasana terus berubah. Setiap hari ada sahaja rombongan jentera parti dan pengunjung luar singgah menikmati nasi ambeng kami.

“Syukur, inilah rezeki yang tidak disangka bila pelanggan tak putus-putus,” katanya.

Menurut Norlisah, peningkatan pelanggan itu memberi nafas baharu kepada peniaga kecil yang sebelum ini berdepan keadaan perniagaan yang agak suram.

Di kesempatan yang sama, Norlisah juga memainkan peranan mendengar kempen secara tidak langsung semasa musim PRN Johor ini ketika berkunjung ke gerainya.

Sebagai pengundi beliau berharap wakil rakyat yang bakal dipilih memberi perhatian kepada penambahbaikan liputan internet di kawasan berkenaan.

Katanya, kemudahan tersebut amat penting bagi peniaga kecil yang semakin bergantung kepada platform dalam talian untuk memasarkan produk terutama apabila ruang dan waktu operasi gerai adalah terhad.

“Bila orang ramai berkunjung ke gerai saya juga boleh tahu apa calon tawarkan kali ini. Kita sebagai penundi mesti nak kemudahan untuk rakyat.

“Internet yang baik bukan lagi satu kemewahan tetapi keperluan untuk kami sebagai peniaga terus berkembang,” ujarnya.

Jelasnya, sebagai peniaga mereka memerlukan capaian internet yang meluas kerana mengambil pesanan secara atas talian.

Kaedah mengambil tempahan dan penghantaran merupakan katanya dapat menampung permintaan pelanggan kerana gerainya tidak dapat menampung kehadiran pelanggan.

PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN yang akan ditentukan oleh 2,727,926 pemilih pada Sabtu ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast