SEGAMAT– Pahang dan Johor mencatatkan pelaksanaan dasar Lot Generasi Felda tertinggi dengan lebih 32,000 diwujudkan di seluruh negara.
Bekas Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pelaksanaan dasar Lot Generasi Felda itu merupakan antara usaha menangani keperluan perumahan kira-kira 112,000 keluarga peneroka di seluruh negara.
Menurut beliau, menyediakan sebuah rumah kepada setiap keluarga peneroka bukan tugas yang mudah, justeru dasar Lot Generasi Felda diperkenalkan dengan memanfaatkan tanah milik agensi itu tanpa melibatkan tanah peneroka.
“Kita ada 112,000 peneroka seluruh negara. Kalau seorang peneroka, satu keluarga peneroka ada satu sahaja untuk anak dia, kita perlukan sebanyak 112,000 unit. Bukan senang nak buat.
“Sebab itu kita buat satu dasar Lot Generasi Felda. Kita cari tanah Felda, bukan tanah milik peneroka. Lot peneroka jangan sentuh, tanah ladang dan tapak rumah mereka pun tidak boleh diambil,” katanya kepada MalaysiaGazette sejurus sesi kempen sempena PRN Johor.
Beliau berkata, pelaksanaan Lot Generasi bukanlah proses yang mudah kerana ia melibatkan urusan menukar syarat penggunaan tanah, pecah lot serta proses pemberian hak milik.
Katanya, daripada lebih 32,000 Lot Generasi yang diwujudkan di seluruh negara, kira-kira 16,000 lot berada di Pahang manakala sebanyak 15,388 lot di Johor.
“Daripada lebih 15,000 lot di Johor itu, hampir 10,000 lot telah mendapat hak milik dan kini kita memikirkan pula bagaimana membantu mereka membina rumah.
“Kadang-kadang apabila lot itu diserahkan kepada anak, mereka tidak mempunyai slip gaji untuk membuat pinjaman bank. Bank akan bertanya apa pekerjaan mereka dan di mana slip gaji mereka,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Johor membantu menangani isu tersebut menerusi Program Rumah Prihatin Johor bagi membolehkan pemilik Lot Generasi membina rumah di atas tanah yang diperoleh.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery turut mendakwa pencapaian penyediaan Lot Generasi Felda i negeri yang ditadbir Pakatan Harapan masih jauh lebih rendah berbanding negeri yang diterajui Barisan Nasional.
Menurutnya, Negeri Sembilan yang mempunyai kira-kira 16,000 peneroka Felda, hanya merekodkan sekitar 100 lot generasi.
“Kalau orang kata mahu membantu generasi peneroka, Pakatan Harapan juga ada negeri yang mereka kuasai, iaitu Negeri Sembilan. Tetapi lot generasi yang dibuat di sana hanya sekitar 100 sahaja.
“Pahang ada kira-kira 16,000 lot, Johor pula lebih 15,000 lot. Tidak ada negeri lain melainkan Johor dan Pahang yang boleh buat macam ini kerana Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional mengambil berat soal kepentingan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
Jawatan Pengerusi Felda boleh tunggu, kemenangan BN lebih utama – Shabery Cheek
















