Gambar hiasan.

Oleh: Datuk Ahmad Akram Gharib

KENYATAAN bahawa hanya penerima dalam kes rasuah dihukum merupakan satu persepsi yang kurang tepat dan perlu diperbetulkan. Ekosistem rasuah lazimnya melibatkan lebih daripada satu pihak, sama ada pemberi, penerima, orang tengah atau pihak yang mendapat manfaat daripada transaksi tersebut. Namun, kenyataan bahawa pemberi rasuah secara umumnya langsung tidak dikenakan tindakan perlu dilihat dengan lebih seimbang dan menyeluruh.

Dari sudut undang-undang dan amalan pendakwaan di Malaysia, pemberi rasuah bukanlah pihak yang kebal. Isu sebenar bukanlah sama ada undang-undang hanya menghukum penerima, tetapi sama ada bukti yang mencukupi wujud untuk membolehkan kedua-dua pihak dituduh dan disabitkan di mahkamah. Oleh itu, pendekatan yang lebih tepat dan adil adalah bahawa pendakwaan rasuah perlu berasaskan bukti, bukan persepsi.

Pemberi rasuah didakwa di Malaysia
Dari sudut fakta, terdapat banyak contoh pemberi rasuah telah didakwa. Pada September 2023, Dewan Negara dimaklumkan bahawa 240 pemberi rasuah telah dituduh di bawah Akta SPRM 2009 sejak 2019, iaitu 29 orang di bawah seksyen 16(b) dan 211 orang di bawah seksyen 17(b).

Daripada jumlah itu, 86 individu pemberi rasuah telah didapati bersalah. Kenyataan yang sama turut menegaskan bahawa jika terdapat bukti dan keterangan mencukupi, kedua-dua pihak, pemberi dan penerima, termasuk orang perantaraan, boleh didakwa di mahkamah.

Statistik yang lebih terkini turut menunjukkan tindakan terhadap pemberi rasuah bukanlah sesuatu yang terpencil. Dalam jawapan bertulis Parlimen yang dilaporkan pada Ogos 2025, SPRM merekodkan 1,689 tangkapan bagi kes memberi rasuah antara 2015 hingga 30 Jun 2025, selain 4,896 tangkapan bagi kes menerima rasuah dalam tempoh yang sama. Bagi kes memberi rasuah, kumpulan orang awam mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi, diikuti sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan, penjawat awam dan ahli politik.

Undang-undang hukum pemberi dan penerima rasuah
Dari segi undang-undang, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 memperuntukkan kesalahan rasuah secara menyeluruh. Kesalahan meminta atau menerima rasuah diperuntukkan antara lain di bawah seksyen 16(a) dan 17(a), manakala perbuatan memberi suapan pula merupakan kesalahan di bawah seksyen 16(b) dan 17(b).

SPRM sendiri menyenaraikan memberi suapan sebagai salah satu kesalahan utama rasuah, dengan hukuman am berupa penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. Malah, ruang tindakan terhadap pemberi telah diperluaskan lagi melalui pengenalan liabiliti korporat di bawah seksyen 17A Akta SPRM 2009.

Sejak peruntukan ini berkuat kuasa pada 1 Jun 2020, organisasi komersial juga boleh didakwa sekiranya seseorang yang bersekutu dengannya memberikan, menjanjikan atau menawarkan suapan bagi memperoleh atau mengekalkan perniagaan atau faedah perniagaan. Ini menunjukkan pendekatan undang-undang Malaysia tidak hanya tertumpu kepada individu penerima, tetapi turut meliputi pemberi, orang tengah, syarikat dan pengurusan korporat apabila bukti mencukupi.

Mengapa kebanyakan kes tertumpu kepada penerima?
Walaupun pemberi rasuah boleh dan memang didakwa, masyarakat sering melihat liputan media lebih tertumpu kepada penerima, khususnya penjawat awam atau pemegang jawatan politik. Persepsi ini perlu difahami dalam konteks sifat jenayah rasuah itu sendiri serta keperluan pembuktian dalam sistem keadilan jenayah.

1.Kekangan bukti dalam jenayah yang dilakukan secara tertutup
Rasuah bukan jenayah biasa yang lazimnya mempunyai mangsa jelas, saksi bebas atau bukti dokumentari yang mudah diperoleh. Transaksi rasuah sering berlaku secara tertutup, tanpa saksi pihak ketiga, tanpa rekod rasmi dan kadangkala melalui wang tunai atau perantaraan pihak lain.

Selain itu, kedua-dua pemberi dan penerima bersubahat dan menerima manfaat daripada satu sama-lain, jadi perbuatan rasuah mereka sengaja dirahsiakan. Dalam keadaan sebegini, pendakwaan mesti menilai sama ada terdapat keterangan yang mencukupi untuk membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Jika kedua-dua pemberi dan penerima didakwa serentak tanpa adanya bukti bebas yang kukuh, kedua-duanya mempunyai hak untuk membela diri dan kedua-dua tertuduh mempunyai hak berperlembagaan untuk mendiamkan diri di mahkamah (privilege against self-incrimination).

Sekiranya kedua-duanya mendiamkan diri, pihak pendakwaan tidak akan mempunyai saksi utama untuk membuktikan kes, sekali gus menyebabkan kesemua penjenayah terlepas akibat kekurangan bukti melebihi keraguan munasabah. Ini bukan kerana undang-undang tidak tegas, tetapi kerana bukti tidak dapat memenuhi standard pembuktian jenayah.

2.Peranan pemberi perlu dinilaikan berdasarkan fakta setiap kes
Dalam sesetengah kes, pemberi rasuah mungkin merupakan saksi utama yang dapat membuktikan permintaan, penerimaan, tujuan suapan, perbualan, arahan atau janji balasan. Tanpa keterangan pemberi, pihak pendakwaan mungkin sukar membuktikan elemen penting kes terhadap penerima, khususnya apabila tiada saksi bebas lain.

Atas sebab itu, keputusan sama ada pemberi patut dituduh, digunakan sebagai saksi pendakwaan atau ditangani melalui pendekatan lain bukanlah keputusan yang boleh dibuat secara automatik. Ia tertakluk kepada budi bicara pendakwaan secara kes demi kes, berdasarkan peranan pemberi, tahap penglibatan, nilai keterangannya, kepentingan awam dan prospek sabitan di mahkamah.

Perkara ini juga perlu dilihat secara lebih teliti kerana tidak semua kes pemberian rasuah berlaku dalam keadaan yang sama. Ada pemberi yang secara aktif menawarkan suapan untuk mendapatkan projek, lesen atau faedah tertentu. Golongan ini wajar dikenakan tindakan tegas apabila bukti mencukupi. Namun, terdapat juga keadaan di mana wang diberi selepas permintaan dibuat oleh pihak berkuasa, atau pemberi tampil membuat laporan dan bekerjasama dalam operasi SPRM.

Dalam keadaan sebegini, tindakan mendakwa semua pemberi secara membuta tuli boleh membawa kesan songsang. Orang awam, peniaga kecil atau pengadu mungkin menjadi takut untuk melaporkan permintaan rasuah kerana bimbang diri mereka sendiri akan terus didakwa.

Ini boleh melemahkan keberkesanan penguatkuasaan, sedangkan undang-undang turut meletakkan kewajipan untuk melaporkan tawaran, permintaan atau pemberian rasuah. Justeru, pendekatan lebih adil bukanlah mendakwa semua pihak secara seragam dalam setiap kes, tetapi memastikan tindakan diambil berdasarkan bukti, peranan sebenar setiap pihak dan kepentingan keadilan secara keseluruhan.

3. Fokus kepada penerima bukan bermaksud pemberi dilepaskan
Dalam kes yang melibatkan penjawat awam atau pemegang kuasa, tumpuan terhadap penerima juga mempunyai rasional tersendiri. Penerima yang memegang jawatan awam diberi amanah untuk meluluskan lesen, permit, kontrak, penguatkuasaan atau keputusan pentadbiran.

Apabila kuasa itu disalahgunakan, kesannya bukan hanya kepada pemberi, tetapi kepada integriti institusi, keyakinan rakyat dan keadilan dalam sistem ekonomi. Namun, rasional tersebut tidak seharusnya disalah tafsir sebagai pengecualian kepada pemberi. Prinsip yang lebih tepat ialah: penerima perlu menerima tindakan kerana menyalahgunakan amanah, manakala pemberi, orang tengah dan syarikat juga perlu dihukum apabila bukti menunjukkan mereka secara sedar mengambil bahagian dalam transaksi rasuah.

Pertuduhan terhadap pemberi
Contoh kes dimana pemberi rasuah yang turut didakwa adalah ahli perniagaan Albert Tei Jiann Cheing telah didakwa atas empat pertuduhan memberi suapan bernilai RM176,829.03 kepada Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berhubung kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Dalam kes pengambilalihan Menara Kuala Lumpur pula, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh didakwa menawarkan rasuah RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh Hydroshoppe Sdn. Bhd.

Contoh-contoh ini menunjukkan apabila terdapat keterangan yang mencukupi, pemberi rasuah tetap boleh dibawa ke mahkamah. Perkara ini tertakluk kepada budi bicara pendakwaan yang dinilai berdasarkan fakta dan keadaan setiap kes, dan tidak wajar ditetapkan secara mutlak bahawa semua pemberi dan penerima rasuah mesti didakwa secara serentak dalam setiap keadaan. Isu sebenar bukanlah ketiadaan undang-undang terhadap pemberi, tetapi kecukupan bukti, peranan pemberi dalam keseluruhan transaksi, dan strategi pendakwaan bagi membuktikan kes secara berkesan di mahkamah.

Kesimpulannya, usaha membanteras rasuah memang tidak boleh hanya menumpukan kepada penerima. Pemberi, penerima, orang tengah, syarikat dan mana-mana pihak yang mendapat manfaat daripada transaksi rasuah mesti diambil tindakan apabila bukti mencukupi. Namun, adalah kurang tepat untuk menyatakan bahawa pemberi rasuah secara umum tidak dikenakan tindakan di Malaysia.

Pendekatan yang lebih adil dan berkesan ialah menegaskan bahawa pendakwaan rasuah perlu berasaskan bukti, bukan persepsi. Jika bukti mencukupi terhadap pemberi, pendakwaan hendaklah dibuat. Jika pemberi merupakan saksi penting untuk membuktikan kes terhadap penerima, keputusan pendakwaan perlu dibuat secara teliti agar matlamat lebih besar, iaitu memutuskan rantaian rasuah, tidak terjejas.

Tiada pihak yang kebal. Sama ada yang memberi, yang menerima, yang menjadi orang tengah atau syarikat yang mendapat keuntungan daripada rasuah, semua boleh dikenakan tindakan undang-undang apabila keterangan dan bukti memenuhi kehendak undang-undang.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast