Bonnie Tyler

LONDON – Penyanyi, Bonnie Tyler, yang terkenal menerusi lagu cinta ikonik Total Eclipse of the Heart, meninggal dunia pada usia 75 tahun di sebuah hospital di Portugal.

“Amat berdukacita mengumumkan Bonnie meninggal dunia secara mengejut malam tadi di hospital di Portugal akibat penyakit yang sedang dirawat,” kata keluarganya menerusi Facebook penyanyi itu.

Dengan suara serak yang unik, rambut perang mengurai dan solekan mata hitam yang menjadi identitinya, Tyler dikenali sebagai ratu lagu balada pada era 1980-an.

Penyakit itu turut memaksa Tyler membatalkan beberapa tarikh jelajah Eropah sempena ulang tahun ke-50 pelancaran lagu Lost in France, yang melonjakkan namanya pada 1976.

Dilahirkan sebagai Gaynor Hopkins di bandar Neath, Wales pada 1951, Tyler membesar bersama lima adik-beradik dan meninggalkan alam persekolahan pada usia 16 tahun.

“Perkara terbaik yang pernah saya lakukan ialah Total Eclipse of the Heart. Siapa sangka lagu itu masih begitu popular sehingga hari ini dan orang yang belum dilahirkan ketika itu kini menyanyikannya di karaoke?” katanya dalam temu bual bersama The Daily Telegraph pada 2025.

Tyler berasal daripada keluarga sederhana. Bapanya bekerja di lombong arang batu manakala ibunya merupakan suri rumah.

Beliau pernah berkata bakat nyanyiannya diwarisi daripada ibunya.

“Ibu saya mempunyai radiogram dan banyak piring hitam 78 rpm. Dia akan menyanyi sekuat hati sambil mengemas rumah dengan tingkap terbuka. Orang ramai akan berdiri di luar rumah semata-mata untuk mendengarnya kerana suaranya begitu hebat,” katanya.

Pada awal kerjayanya, Tyler bekerja di sebuah kedai runcit sambil menyanyi pada waktu lapang, menggunakan nama pentas Sherene Davis bagi mengelakkan kekeliruan dengan penyanyi Wales lain, Mary Hopkin.

Pada 1975, beliau ditemui pencari bakat Roger Bell ketika membuat persembahan di sebuah kelab malam di Swansea sebelum menandatangani kontrak dengan RCA Records beberapa bulan kemudian dan menukar nama pentas kepada Bonnie Tyler.

Tidak lama selepas itu, Tyler menjalani pembedahan membuang nodul pada pita suaranya. Namun kerana tidak merehatkan suara secukupnya selepas pembedahan, beliau akhirnya memperoleh suara serak yang kemudian menjadi identiti tersendiri.

Lagu hit pertamanya ialah It’s a Heartache pada 1978 sebelum beliau beralih kepada muzik rock pada awal 1980-an.

Bagaimanapun, lagu Total Eclipse of the Heart, ciptaan komposer Amerika, Jim Steinman, melonjakkan namanya ke peringkat antarabangsa.

Lagu itu kini dianggap antara balada rock paling terkenal sepanjang zaman. Pada 2026, ia melepasi satu bilion jumlah penstriman di Spotify, 43 tahun selepas pertama kali diterbitkan.

Lagu tersebut turut terjual melebihi enam juta salinan di seluruh dunia, manakala video muziknya telah ditonton lebih satu bilion kali di YouTube.

Ketika berada di kemuncak populariti pada 1984, Tyler merakamkan Holding Out for a Hero, lagu tema filem terkenal Footloose yang dibintangi Kevin Bacon.

Sepanjang kerjayanya, Tyler menghasilkan 17 album studio dan menerima tiga pencalonan Anugerah Grammy. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast