Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar (tiga dari kanan) menunjukkan bungkusan bunga ganja yang dirampas ketika sidang media

SHAH ALAM – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah membabitkan bunga ganja seberat 166.2 kilogram (kg) bernilai RM13.34 juta menerusi empat siri serbuan secara berasingan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sebuah kediaman di Kota Warisan, Sepang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi bersepadu bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA dan Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) itu dijalankan antara 29 Jun hingga 4 Julai lalu.

Menurutnya, lima individu ditahan terdiri daripada dua lelaki warga asing, seorang lelaki tempatan dan dua wanita tempatan yang dipercayai terbabit dalam rangkaian pengedaran dadah berasingan.

Dalam serbuan pertama pada 29 Jun lalu, polis menemui 33.6 kg bunga ganja bernilai RM2.7 juta dalam dua bagasi mencurigakan di KLIA sebelum menahan seorang lelaki warga asing berusia 25 tahun.

Pada hari sama, seorang wanita tempatan berusia 35 tahun turut ditahan selepas pemeriksaan sebuah bagasi menemukan 21.1 kg bunga ganja bernilai RM1.7 juta.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan metaphetamine. Suspek sedang ditahan reman selamat 12 hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Dalam operasi ketiga pada 3 Julai lalu, polis menahan pasangan suami isteri warga tempatan di kawasan parkir sebuah condominium sekitar Kota Warisan, Sepang sebelum menemukan 76 kilogram bunga ganja bernilai RM6.1 juta dalam sebuah rumah sewa yang digunakan suspek.

Jelas beliau, pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Alza bernilai RM20,000 yang dipercayai digunakan aktiviti penghantaran dadah.

Tambah beliau lagi, operasi pada 4 Julai pula membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun selepas polis menemukan 35.5 kilogram bunga ganja bernilai RM2.84 juta dalam dua bagasi di KLIA.

Shazeli berkata, keseluruhan rampasan bernilai RM13.34 juta itu dipercayai sebahagian daripada cubaan menyeludup dadah ke negara Eropah melalui Terminal 1 KLIA.

“Jumlah keseluruhan dadah jenis bunga ganja yang dirampas dalam operasi ini dianggarkan mampu menampung penggunaan sehingga 554,000 pengguna pada satu-satu masa, berdasarkan anggaran 0.3 gram bagi setiap Individu.

“Semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast