Oleh: Ridzwan Ahmad
DALAM beberapa hari lagi iaitu pada hari ahad 11 Julai 2026 Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 akan dilangsungkan melibatkan seramai 2.7 juta pemilih berdaftar. Sebenarnya PRN Johor 2026 bukan hanya pertandingan memilih sebuah kerajaan negeri, bahkan menjadi medan penting untuk menilai sejauh mana landskap politik Malaysia sedang memasuki fasa baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Menariknya, sebahagian besar analisis yang beredar dalam media sosial dan platform berita masih menjadikan keputusan PRN Johor 2022 sebagai asas utama dalam membuat unjuran terhadap pilihan raya kali ini.
Tidak dinafikan pendekatan tersebut tidaklah dianggap salah kerana keputusan pilihan raya terdahulu sememangnya merupakan data sejarah yang penting. Namun demikian, persoalan yang lebih besar ialah sama ada keadaan politik Johor pada tahun 2026 masih sama seperti yang berlaku empat tahun lalu ataupun sebaliknya. Dalam ilmu sains politik, data sejarah merupakan titik permulaan kepada analisis, bukannya penentu mutlak terhadap keputusan masa hadapan.
Pilihan raya bukan hanya dipengaruhi oleh sejarah, malah ditentukan oleh perubahan pemboleh ubah politik, demografi, ekonomi dan psikologi pengundi yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Atas dasar ini, artikel ini tidak bertujuan membuat ramalan tentang parti mana yang bakal menang atau membentuk kerajaan negeri. Sebaliknya, artikel ini mencadangkan satu pendekatan analisis yang lebih dinamik dengan memberi tumpuan kepada perubahan semasa yang menjadi pemboleh ubah terhadap keputusan PRN Johor 2026 berbanding keputusan PRN Johor 2022.
Perkara pertama yang wajar diberikan perhatian ialah perubahan komposisi pengundi. Dalam tempoh empat tahun yang lalu, Johor menerima kemasukan sejumlah besar pengundi baharu yang terdiri daripada generasi muda. Pada masa yang sama, sebahagian pengundi yang selama ini menjadi asas kepada sokongan tradisional parti-parti tertentu semakin berkurangan atas faktor usia dan perubahan demografi. Perubahan ini mungkin kelihatan kecil jika dilihat secara tahunan, namun kesannya menjadi lebih ketara apabila dihimpunkan dalam satu kitaran pilihan raya negeri.
Generasi baharu juga mempunyai corak memperoleh maklumat yang jauh berbeza daripada generasi terdahulu. Mereka tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada media arus perdana, sebaliknya membentuk persepsi politik melalui media sosial, aplikasi pesanan segera dan kandungan digital. Perubahan cara memperoleh maklumat ini boleh menghasilkan corak pengundian yang berbeza daripada generasi sebelumnya. Oleh itu, menganggap bahawa pola pengundian tahun 2022 akan berulang tanpa mengambil kira pertukaran generasi merupakan satu andaian yang memerlukan penelitian semula.
Perubahan kedua ialah landskap persaingan politik Melayu. Jika sebelum ini pertandingan di Johor sering dianalisis dalam kerangka persaingan tradisional antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), perkembangan politik selepas PRU15 menunjukkan bahawa Perikatan Nasional (PN) semakin mendapat tempat dalam sebahagian segmen pengundi Melayu. Sama ada perkembangan ini cukup besar untuk mengubah keputusan pilihan raya hanyalah dapat dipastikan melalui peti undi, namun kewujudannya sebagai pemboleh ubah baharu tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Dalam konteks ini, persaingan antara BN dan PN menjadi lebih menarik kerana kedua-dua gabungan tersebut banyak bersaing dalam kelompok pengundi yang hampir sama. Sebaliknya, PH dijangka terus bergantung kepada kekuatan tradisinya di kawasan bandar serta kawasan yang mempunyai komposisi pengundi bukan Melayu yang tinggi.
Begitu juga dari sudut Kerajaan Persekutuan, PH dan BN berkongsi kuasa di bawah Kerajaan Madani walaupun dalan PRN kali ini pertembungan berlaku di semua kawasan yang ditandingi iaitu 56 kawasan. Persaingan tiga penjuru inilah yang menjadikan keputusan PRN Johor lebih sukar diramalkan berbanding sekadar mengulangi pola pilihan raya terdahulu.
Selain faktor demografi dan persaingan parti, isu berkaitan pembangunan negeri serta hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan turut menjadi sebahagian daripada perbahasan politik semasa. Beberapa kenyataan pemimpin negeri mengenai pembangunan Johor, keutamaan projek dan hubungan fiskal antara negeri dengan Persekutuan telah menjadi perhatian umum. Tanpa mengira tafsiran politik terhadap isu-isu tersebut, ia tetap berpotensi mempengaruhi persepsi sebahagian pengundi, khususnya mereka yang menilai prestasi kerajaan berdasarkan pembangunan ekonomi dan kebajikan negeri.
Dalam masa yang sama, kedudukan Johor sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi negara menyebabkan sebahagian pengundi memberikan perhatian terhadap hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan. Persepsi bahawa kerjasama tersebut berjalan dengan baik atau sebaliknya boleh menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi keputusan pengundi, walaupun tahap pengaruhnya berbeza mengikut kawasan.
Namun demikian, faktor-faktor tersebut tidak boleh dilihat secara berasingan. Kekuatan jentera parti, kewibawaan calon, kadar keluar mengundi, isu setempat dan dinamika kempen pada minggu-minggu terakhir juga berpotensi mengubah keputusan di kerusi-kerusi marginal. Atas sebab itu, pendekatan yang terlalu bergantung kepada keputusan pilihan raya lalu tanpa mengambil kira perubahan pemboleh ubah semasa mungkin menghasilkan analisis yang kurang tepat.
Berdasarkan pemerhatian tersebut, terdapat sekurang-kurangnya tiga senario yang munasabah boleh dipertimbangkan. Senario pertama ialah keadaan yang menyaksikan pola politik tidak banyak berubah. Dalam keadaan ini, BN masih muncul sebagai gabungan terbesar, PH mengekalkan sebahagian besar kawasan bandar, manakala PN mencatat peningkatan secara sederhana di beberapa kawasan majoriti Melayu.
Senario kedua ialah berlakunya perubahan yang lebih ketara dalam pola sokongan pengundi Melayu sehingga persaingan antara tiga gabungan utama menjadi jauh lebih seimbang. Dalam keadaan ini, tiada satu gabungan yang benar-benar mendominasi keputusan pilihan raya walaupun masing-masing masih mempunyai kubu tradisi tersendiri.
Senario ketiga pula ialah situasi tiada mana-mana gabungan memperoleh kedudukan yang benar-benar selesa untuk membentuk kerajaan secara bersendirian. Sekiranya keadaan sedemikian berlaku, pembentukan kerajaan negeri berkemungkinan memerlukan kerjasama antara gabungan politik, sebagaimana yang berlaku di peringkat Persekutuan selepas PRU15.
Ketiga-tiga senario tersebut bukan bertujuan menentukan parti mana yang akan menang. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa perubahan landskap politik menjadikan lebih daripada satu kemungkinan boleh berlaku. Dalam disiplin analisis politik, senario seperti ini lebih sesuai digunakan berbanding memberikan angka kerusi yang terlalu spesifik sebelum proses pengundian selesai.
Hakikatnya, tugas seorang penganalisis politik bukanlah meneka masa hadapan secara mutlak, tetapi mengenal pasti pemboleh ubah yang mampu mengubah keputusan pilihan raya. Sejarah pilihan raya memang penting, namun sejarah bukanlah takdir. Sesebuah keputusan pilihan raya boleh berubah apabila pemboleh ubah yang membentuk keputusan tersebut turut berubah.
Begitu juga tujuan utama analisis politik bukanlah menentukan siapa bakal menang sebelum peti undi dibuka. Sebaliknya, tujuan analisis ialah memahami mengapa keputusan tersebut berlaku setelah semua undi dikira. Ramalan mungkin tepat secara kebetulan, tetapi kerangka analisis yang baik mampu menerangkan sebab-sebab di sebalik sesuatu keputusan. Oleh itu, nilai sebenar sesebuah model analisis bukan terletak pada keberaniannya meramalkan masa hadapan, tetapi pada keupayaannya menjelaskan realiti politik secara objektif dan konsisten.
Kesimpulannya, PRN Johor 2026 wajar dilihat sebagai medan untuk menguji sama ada berlaku perubahan struktur dalam pola pengundian, khususnya dalam kalangan generasi muda dan pengundi Melayu. Jika perubahan itu benar-benar berlaku, kesannya tidak terhad kepada Johor sahaja, bahkan boleh menjadi petunjuk penting terhadap strategi politik menjelang PRU16 serta pilihan raya negeri lain pada masa hadapan. Oleh itu, pendekatan yang lebih sesuai ialah menjadikan keputusan PRN 2022 sebagai titik permulaan kepada analisis, bukannya sebagai jawapan muktamad terhadap apa yang bakal berlaku. Wa Allah a’lam.
Penulis dari Jabatan Fiqh-Usul Dan Sains Gunaan
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
















