Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir bagi perbicaraan pertuduhan salah guna kedudukan melibatkan suapan RM232.5 juta dan menerima wang RM200 juta hasil aktiviti haram ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 MAC 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menangguhkan perbicaraan kes Jana Wibawa  yang melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin  bagi membolehkan beliau menghadiri upacara pengkebumian abang iparnya yang meninggal dunia hari ini.

Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin membenarkan permohonan peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang memaklumkan bekas perdana menteri perlu Johor untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

“Pihak pembelaan memohon jasa baik mahkamah untuk mengizinkan anak guam kami untuk menziarahi arwah dan menunaikan solat sunat jenazah di Johor,” ujarnya.

Permohonan penangguhan tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan perbicaraan disambung pada Isnin ini bagi meneruskan prosiding soal balas saksi pendakwaan ke- 13, Aliza Abd. Malek.

Hakim Noor Ruwena turut menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh keluarga arwah.

Mahkamah sepatutnya menyambung keterangan Aliza yang juga salah seorang pengarah Nepturis Sdn. Bhd. iaitu syarikat yang dikaitkan dengan Muhyiddin dalam pertuduhan terhadapnya.

Semalam, Aliza mengesahkan syarikat Nepturis telah memperolehi projek kerajaan bagi bagi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara dengan kos kontrak berjumlah lebih kurang RM141 juta.

Menurut beliau yang juga eksekutif kanan perolehan syarikat tersebut berkata, pihaknya mendapat arahan ahli perniagaan yang juga pemilik Nepturis, Lian Tian Chuan (dikenali sebagai TC Lian) untuk menyediakan surat bagi memohon projek berkenaan.

Menurut saksi pendakwaan ke-13, TC Lian memaklumkan bahawa surat tersebut akan diberikan kepada Muhyiddin (ketika itu Perdana Menteri).

Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast