KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh memuji Menteri Pengangkutan yang pantas bertindak mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan saman kepada pesalah trafik yang tidak memakai topi keledar semasa program beliau bersama anak muda Felda Ulu Dengar, minggu lepas.
Sambil mengaku bersalah di atas kesalahan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu juga mengambil tanggungjawab untuk membayar saman yang dikenakan dengan kadar segera.
Dalam pada itu, Dr Akmal membangkitkan isu pemandu mabuk yang mengakibatkan kemalangan maut yang didakwanya telah lama diabaikan Anthony Loke selaku Menteri Pengangkutan.
Menurut beliau, hukuman dari segi undang-undang bagi pemandu mabuk masih terlalu lemah dan tidak adil kepada mangsa.
Pesalah katanya, hanya menerima hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda bernilai RM50,000 ke RM100,000 sahaja. Sedangkan pesalah telah menyebabkan kematian seorang insan yang mungkin menjadi tunggak sesebuah keluarga.
“Saya mencabar Menteri Pengangkutan yang masih berbaki masanya untuk segera merangka dan melaksana undang-undang yang lebih tegas untuk dikenakan kepada pesalah pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut.
“Pesalah ini mesti dihukum penjara yang lebih lama dan perlu menanggung segala kos yang mencukupi bagi keperluan ahli keluarga mangsa untuk meneruskan kehidupan.
“Menteri jangan hanya berani kepada pesalah tidak memakai topi keledar tapi bila kesalahan yang lebih serius hingga mengakibatkan kehilangan nyawa terus menikus!” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Anthony mengarahkan JPJ menyaman sesiapa sahaja yang tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata JPJ tidak boleh bersikap dwistandard dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap mana-mana pihak termasuk mereka dari parti kerajaan. -MalaysiaGazette















