Calon PH N.47 Kempas, Faezuddin Puad bersama jentera melakukan 'flashmob' dengan mengibarkan bendera dan poster pada hari terakhir kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 10 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Kurang 24 jam sebelum tamat tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, calon Pakatan Harapan (PH) N.47 Kempas, Muhammad Faezuddin Mohd. Puad optimis gelombang sokongan rakyat terhadap gabungan itu semakin ketara.

Beliau berkata, keyakinan tersebut berdasarkan sambutan luar biasa yang diterima dalam setiap siri ceramah dan sepanjang kempen selain melihat perantau mula pulang ke Johor untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Dalam tempoh kurang 24 jam ini, kita melihat setiap program ceramah mendapat sambutan yang begitu hangat.

“Kita juga lihat tiket bas untuk pulang ke Johor habis dijual, manakala laluan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru sesak dengan kenderaan.

“Kita berharap semua petunjuk ini akan diterjemahkan di peti undi dan memberikan kemenangan kepada PH, bukan sahaja di Kempas tetapi di seluruh Johor,” katanya ketika ditemui selepas melakukan “Flash Mob” di Taman Cempaka, Kempas, di sini, hari ini.

Calon PH N.47 Kempas, Faezuddin Puad bersama jentera melakukan ‘flashmob’ dengan mengibarkan bendera dan poster pada hari terakhir kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 10 JULAI 2026.

Faezuddin berkata, beliau percaya momentum yang sedang memihak kepada PH mampu mengubah landskap politik Johor sekiranya diterjemahkan melalui peratusan keluar mengundi yang tinggi.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pengundi, terutama golongan muda dan perantau, supaya keluar mengundi seawal mungkin berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Saya sarankan semua keluar mengundi awal. Kita tidak tahu kemungkinan hujan atau ribut pada sebelah petang. Lebih baik keluar awal, mengundi awal dan pulang awal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jentera PH akan terus bekerja sehingga saat akhir sebelum tempoh berkempen berakhir pada pukul 11.59 malam.

“Selagi ada kudrat dan kekuatan, kita akan terus berkempen sehingga saat terakhir demi memastikan kemenangan dapat dicapai,” katanya.

Calon PH N.47 Kempas, Faezuddin Puad bersama jentera melakukan ‘flashmob’ dengan mengibarkan bendera dan poster pada hari terakhir kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 10 JULAI 2026.

Faezuddin turut merayu kepada pengundi yang berada di luar kawasan supaya pulang mengundi kerana setiap undi bakal menentukan masa depan Johor untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Saya menyeru semua pengundi di luar supaya balik mengundi. Masa depan Johor berada di tangan rakyat.

“Khusus kepada pengundi DUN Kempas, saya berharap dapat memberikan sokongan kepada calon PH pada hari pengundian esok,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast