Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Thailand terus mempergiat rundingan teknikal bagi menyelesaikan isu perdagangan siakap dan udang menerusi saluran rasmi antara pihak berkuasa kompeten kedua-dua negara dengan setiap keputusan dibuat berasaskan bukti saintifik, penilaian risiko serta pematuhan kepada langkah-langkah sanitari dan fitosanitari(SPS).

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, rundingan yang sedang berlangsung memberi tumpuan kepada usaha memperhalusi keperluan teknikal bagi memudah cara perdagangan tanpa menjejaskan aspek biosekuriti, keselamatan makanan dan kesihatan haiwan akuatik.

Menurutnya, Malaysia melihat proses berkenaan sebagai penyelarasan teknikal antara pihak berkuasa kompeten kedua-dua negara dan bukannya pertikaian perdagangan.

“Pendekatan yang diambil adalah berasaskan sains, pengurusan risiko dan kepentingan bersama bagi memastikan hubungan perdagangan perikanan terus berkembang secara adil, telus dan saling menguntungkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi perdagangan udang, Malaysia telah melengkapkan penilaian awal terhadap maklumat yang dikemukakan Thailand serta mengemukakan 35 soalan teknikal bagi mendapatkan penjelasan lanjut sebelum penilaian risiko dimuktamadkan.

Adnan Hussain

Bagi perdagangan siakap pula, kedua-dua negara sedang memperhalusi beberapa keperluan import termasuk aspek pensijilan, keselamatan makanan dan pengurusan risiko bagi memudah cara perdagangan.

Dalam rundingan itu, Malaysia turut mencadangkan beberapa langkah untuk memperkukuh kerjasama teknikal termasuk penyelarasan keperluan pensijilan, pengukuhan sistem kebolehkesanan, perkongsian data saintifik serta mekanisme pemeriksaan yang lebih berasaskan risiko.

Selain itu, Malaysia berharap pendekatan tersebut dapat membuka ruang kepada semakan semula keperluan pensampelan 100 peratus terhadap pengeksport siakap yang mempunyai rekod pematuhan baik serta meneroka pelaksanaan mekanisme *green lane* bagi ladang yang memenuhi standard keselamatan makanan dan biosekuriti.

Pada masa sama, Malaysia turut berharap sekatan import udang Malaysia ke Thailand yang berkuat kuasa sejak 2017 dapat diselesaikan melalui pendekatan teknikal yang sama bagi mewujudkan akses pasaran yang lebih seimbang kepada industri akuakultur kedua-dua negara.

Adnan berkata, setiap keputusan yang diambil Malaysia adalah berdasarkan penilaian risiko saintifik dan piawaian antarabangsa.

“Sebaik sahaja semua maklumat teknikal yang diperlukan diterima, proses penilaian akan dimuktamadkan dengan kadar segera bagi menyokong kelancaran perdagangan serta melindungi kepentingan industri akuakultur negara,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perikanan Malaysia akan terus bekerjasama dengan kementerian serta agensi berkaitan bagi memperkukuh akses pasaran eksport di samping membantu pengusaha meningkatkan pematuhan terhadap standard eksport, sistem kebolehkesanan dan amalan biosekuriti bagi memenuhi keperluan pasaran antarabangsa.

Thailand merupakan antara pasaran utama eksport siakap Malaysia dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM92.6 juta membabitkan 9,286 tan metrik pada 2024. Sehingga tahun 2025, nilai perdagangan yang direkodkan ialah RM42.6 juta melibatkan 4,320 tan metrik.

“Malaysia yakin kerjasama erat antara pihak berkuasa kompeten kedua-dua negara akan terus memperkukuh hubungan perdagangan perikanan yang stabil, berasaskan risiko dan saling menguntungkan dalam jangka panjang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast