Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Calon PH N.41 Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik pada Majlis Makan Malam dan Dialog PMX bersama Masyarakat Cina di Restoran Cathay, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 04 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Maszlee Malik dilihat mempunyai potensi besar untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N41 Puteri Wangsa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpendapat, bekas menteri pendidikan itu memiliki kelebihan politik yang kuat di kawasan campuran berkenaan.

“Faktor populariti peribadi Maszlee mampu mengekalkan sokongan pengundi.

“Selain gerak kerja, kita semua maklum, walaupun penyandang sebelum ini dari parti MUDA, tetapi ketika itu MUDA bersama-sama PH.

“”Saya juga melihat gerak kerja kempen yang agresif oleh jentera PH menjadi antara pemacu utama yang mampu menterjemahkan sokongan kepada kemenangan di kerusi panas itu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dr Mohammad Tawfik Yaakub ketika menjadi panel program SKOP MG.

Beliau berkata demikian menerusi program SKOP MG dengan tajuk PRN Johor: Siapa Di Depan Siapa Tertinggal?

Menurut Mohammad Tawfik, PH juga berpotensi merampas beberapa lagi kerusi yang sebelum ini dianggap sebagai kubu kuat Barisan Nasional.

“Kita faham di Johor ini tempat kelahiran UMNO, namun ada sesetengah kawasan yang saya dan pasukan turun, ada yang melahirkan rasa mahu membuat pertukaran kerana keadaan yang tidak berubah dari dulu lagi.

“Kita harapkan yang baik-baik sajalah, paling penting, pilihan raya negeri Johor ini bukanlah satu pilihan raya yang boleh tercerminkan arah mana pilihan raya umum ke-16 yang akan datang kerana model politik budaya politik Johor tu berbeza,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohammad Tawfik turut menitik beratkan usaha yang berterusan agresif daripada parti-parti politik untuk menarik pengundi-pengundi balik mengundi.

“Saya paling tekankan adalah pengundi luar. Mungkin ada pengumuman daripada kerajaan sendiri, negeri dan Persekutuan, insentif untuk memastikan mereka dapat turut serta bersama dalam proses pengundian.

“Mana-mana kerajaan Persekutuan ataupun kerajaan negeri walaupun dalam siri-siri pilihan raya yang akan datang, semua rakyat pengundi mahukan kestabilan, mahukan kemajuan.

“Kita dah terlalu serabut pening dengan pertukaran kerajaan, banyak jenama politik yang telah ada pengalaman sebagai kerajaan.

“Bagi saya, siapa sahaja yang diberi mandat untuk mentadbir perlu memastikan rakyat menerima manfaat. Dalam PRN Johor ini, yang paling utama ialah rakyat mesti menjadi pihak yang menang kerana pemimpin dan parti politik sebenarnya berkhidmat untuk rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata, pemimpin dan parti yang diberi mandat perlu melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab supaya rakyat menikmati manfaat hasil kemakmuran negeri.

Pada masa sama, institusi istana terus memainkan peranan sebagai payung negeri dengan memantau kestabilan politik agar tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Puteri Wangsa menyaksikan pertembungan iaitu Nicholas Paul Vincent (Bersama), Wang Wee Siong (Bebas/IND), Dr Maszlee Malik (PH-PKR), Rashifa Aljunied (MUDA) dan Teow Chia Ling (BN-MCA).

Penyandang kerusi ini adalah Amira Aisya Abd Aziz dari parti MUDA dengan majoriti sebanyak 7,114. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast