Anuar Abd Manap

SEGAMAT – “Adakah bendera merah Harapan bersama logo DAP dijual secara terbuka di pasaran?”soal penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Anuar Abd Manap.

Calon nombor satu Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 itu menempelak dakwaan kononnya bendera Harapan bersama logo DAP yang dipasang di Felda Pemanis merupakan perbuatan jentera BN.

Menurutnya, dakwaan tersebut tidak berasas kerana jentera BN sendiri berdepan kekangan masa untuk memasang bendera parti mereka sepanjang tempoh berkempen.

“Nak pasang bendera BN pun masa tidak cukup, takkan pula ada masa nak sabotaj dengan pasang bendera parti lain.

“Lebih baik orang kita pasang bendera sendiri daripada sibuk pacak bendera orang lain,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana bendera Harapan bersama logo DAP itu boleh diperoleh dengan mudah jika benar bukan dipasang oleh pihak tertentu.

“Adakah semudah itu bendera Harapan bersama logo DAP boleh dibeli di mana-mana?

“Lucu juga, bendera itu dipasang sebelum rombongan datang ke Felda, kemudian apabila mereka hendak pulang, bendera itu pula dicabut semula. Tahu pula bila nak datang dan bila nak balik,” katanya sambil ketawa.

Anuar berkata, walaupun kawasan Felda merupakan kubu kuat BN, jentera parti itu lebih menumpukan usaha memperkukuhkan gerak kerja pada saat-saat akhir kempen bagi memastikan mandat rakyat terus dipertahankan.

Dalam perkembangan sama, Anuar berkata beliau tetap memilih workabout untuk bertemu seramai mungkin pengundi bagi pecutan akhir sebelum pilihan raya esok.

Terdahulu, calon Pakatan Harapan (PH) Jalex Lee En Xiang mendakwa satu insiden sabotaj dikesan apabila bendera Pakatan Harapan diselit dengan logo DAP dikibarkan di Felda Medoi dekat kawasan DUN Pemanis pada semalam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Julai sebagai hari pengundian PRN Johor, manakala pengundian awal berlangsung pada 7 Julai selepas proses penamaan calon pada 27 Jun lalu.

Di DUN Pemanis, pertandingan tiga penjuru menyaksikan Jalex Lee mewakili PH berdepan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Anuar Abd. Manap serta calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Ariventharan Anandan.

Pada PRN Johor 2022, Anuar mempertahankan kerusi itu selepas memperoleh 8,678 undi dengan majoriti 4,187 undi. Calon PKR ketika itu, Yoong Thau meraih 4,491 undi, diikuti calon PN, Uzzair Ismail (3,825 undi) dan calon Pejuang, Azita Amrin (247 undi). – MalaysiaGazette- MalaysiaGazette

Jalex Lee dakwa sabotaj bendera PH berlogo DAP untuk kelirukan pengundi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast