KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai mengingkari arahan anggota polis ketika melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) di Lebuhraya SPRINT berhampiran Institut INTAN, di mana rakaman kejadiannya tular di media sosial, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pemandu berusia 20 tahun yang memandu kereta jenis Mercedes berwarna putih itu ditahan kira-kira pukul 6.30 petang tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26(1) Akta Polis 1967 kerana ingkar arahan sah yang diberikan oleh anggota polis ketika menjalankan sekatan jalan raya.
Menurutnya, rakaman video tular yang dikesan sekitar pukul 2 petang itu sebenarnya merujuk kepada kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.15 tengah malam pada 7 Julai lalu ketika anggota JSPT Kuala Lumpur menjalankan Ops Pelbagai Kesalahan di Lebuhraya SPRINT dari arah Hartamas menghala ke Kerinchi Link.
“Ketika anggota sedang memeriksa sebuah Toyota Alphard, Mercedes berkenaan menghampiri lokasi sekatan sebelum memperlahankan kenderaan dan membrek bagi mengelakkan pelanggaran kerana terdapat kenderaan lain di hadapannya.
“Selepas berhenti seketika di hadapan sekatan, pemandu meneruskan perjalanan kerana tersalah tafsir isyarat anggota trafik yang menghampiri kenderaannya.
“Pemandu menyangka lambaian anggota adalah isyarat untuk meneruskan perjalanan, sedangkan isyarat sebenar adalah supaya beliau berhenti di bahu jalan untuk pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Zamzuri berkata, susulan tindakan segera pihak polis, pemandu bersama pemilik kenderaan yang juga ibunya tampil ke Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee kira-kira pukul 1.30 pagi pada hari kejadian bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, pemandu memaklumkan bahawa dia tidak menyedari terdapat sekatan jalan raya sehingga menghampiri lokasi berkenaan, sekali gus menyebabkan dia membrek secara mengejut akibat faktor cuaca serta perasaan gugup kerana tidak pernah melalui sekatan jalan raya sebelum ini.
“Hasil pemeriksaan menyeluruh mendapati tiada sebarang barangan yang menyalahi undang-undang atau kesan kemalangan ditemui di dalam kenderaan tersebut.
“Pemandu turut menjalani ujian saringan pernafasan alkohol dan keputusan ujian adalah negatif,” katanya.
Menurut beliau, kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan pada Isnin ini bagi mendapatkan arahan lanjut.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi arahan anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya serta memberikan kerjasama penuh bagi memastikan keselamatan dan kelancaran penguatkuasaan undang-undang. – MalaysiaGazette
















