Sheikh Umar Bagharib Ali.

KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan (PH), Sheikh Umar Bagharib Ali mengaku menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar seperti yang ditularkan dalam satu video ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung.

Menerusi hantaran di Facebook dan X hari ini, Naib Pengerusi DAP Johor itu memohon maaf atas kesalahan tersebut serta berjanji akan menjelaskan saman yang dikenakan.

“Itu saya. Saya mohon maaf kerana menaiki motosikal tanpa topi keledar pada pagi penamaan calon di pekan Paloh.

“Saya akan bayar saman,” katanya.

Sheikh Umar adalah penyandang bagi kerusi Dewan Undangan (DUN) Paloh yang dalam misi mempertahankan kerusi itu pada PRN Johor kali ini.

Terdahulu, video memaparkan beberapa petugas kempen PH menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar ketika hari penamaan calon tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi orang ramai.

Awal hari ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kementeriannya memandang serius insiden berkenaan dan menegaskan penguatkuasaan undang-undang jalan raya perlu dilaksanakan secara adil tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.

Beliau turut mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar peraturan jalan raya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast