PASIR GUDANG – Naib Presiden DAP, Steven Sim Chee Keong tidak bersetuju dengan prinsip orang Melayu mesti mengundi calon Melayu dalam pilihan raya.
Timbalan Setiausaha Agung DAP itu berkata, begitu juga dengan pemikiran bahawa orang Cina perlu pilih Cina dan orang India undi calon India.
“Prinsip saya tidak sama. Saya orang Cina (perlu) undi (calon) Cina walaupun dia kaki sakau, curi dan malas sebab (printip) Cina kena undi Cina. Ini tak betul.
“Ada juga datang laungkan ‘hidup Melayu’ atau ‘hidup Cina’ atau ‘hidup India’ semasa berkempen tetapi selesai pilihan raya semua balik, lepas tu tidak ada yang ‘hidup’.
“Tiada yang bantu rakyat. Kebetulan pula hari ini hari lahir 101 tahun seorang pemimpin dan baru-baru ini orang lama dalam politik bagi satu kenyataan.
“Dia kata orang Melayu kena undi calon Melayu. Kebetulan calon saya (calon Pakatan Harapan) di DUN Tiram orang Melayu,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata demikian ketika berucap dalam program dialog dengan peniaga di Taman Kota Masai di sini hari ini.
Turut hadir Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Syahredzan Johan dan calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Tiram, Nor Zulaila Abd Ghani.
Pada 30 Jun lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru pengundi Melayu supaya memilih calon Melayu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang sekiranya mahu negara ini terus kekal sebagai tanah Melayu.
Menerusi surat terbuka, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, orang Melayu bakal berdepan pilihan calon dan kesan daripada pemilihan itu amat besar.
Mengulas lanjut, Steven Sim yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, Pakatan Harapan (PH) menawarkan Nor Zulaila iaitu calon yang bersih, muda dan rajin bekerja untuk kerusi DUN Tiram.
Tegasnya, pendekatan menakut-nakutkan rakyat dengan sentimen Melayu, Cina atau India yang merupakan politik cara lama perlu ditolak.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu juga menggesa rakyat menolak politik yang mengutamakan ‘kawan-kawan calon atau dalam parti’.- MalaysiaGazette
















