Syahredzan Johan (baju putih) menghadiri sesi dialog bersama peniaga di Taman Kota Masai, di sini, hari ini.

PASIR GUDANG – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengambil tindakan terhadap pihak yang menggantung kain rentang pamer wajah dan imej Datuk Seri Najib Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Syahredzan Johan berkata, beliau tidak bersetuju dengan kaedah berkempen sedemikian dan menegaskan sebarang perbezaan pandangan sepatutnya disuarakan menerusi saluran yang lebih berhemah.

“Saya tidak bersetuju dengan cara berpolitik seperti ini. Budaya politik kita perlu lebih sihat dan matang.

“Kalau tidak bersetuju sekalipun, pandangan itu boleh disuarakan melalui media sosial atau secara bersemuka. Budaya politik seperti ini perlu diubah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bangi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi dialog bersama peniaga di Taman Kota Masai, di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Presiden DAP, Steven Sim Chee Keong dan calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Tiram, Nor Zulaila Abd Ghani.

Kelmarin, Rosmah dalam satu kenyataan mengecam keras tindakan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang menyebarkan poster menggunakan wajah dan imejnya untuk tujuan kempen PRN Johor.

Rosmah kecam Kor Ming guna wajahnya untuk bahan kempen PRN Johor

Rosmah menegaskan, Kor Ming yang juga seorang menteri seharusnya menunjukkan contoh politik matang dan bukan menyebarkan bahan fitnah serta manipulasi.

Kain rentang tersebut ditemui di kawasan Bandar Putra, Kulai dan pihak berkuasa dilihat sudah menurunkan bahan kempen tersebut semalam.

Antara kain rentang memaparkan Najib yang mendakwa jika BN menang PRN Johor, beliau akan dibebaskan dari penjara

Sementara itu, Syahredzan menyifatkan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab merosakkan bahan kempen Nor Zulaila sebagai tidak sihat.

Jelasnya, jika tidak bersetuju sesuatu perkara boleh zahirkannya secara bersemuka atau meluahkannya melalui media sosial.

Budaya berpolitik seperti itu katanya, perlu diubah namun beranggapan perbuatan tersebut bukan dilakukan mana-mana parti tetapi individu yang terlebih ‘bersemangat’.

Ditanya apa strategi saat akhir berkempen menjelang hari pengundian esok, beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada pengundi selepas berkempen sejak Sabtu lalu.

“Sekarang ini kita berada dalam pecutan akhir, tiada strategi yang boleh diubah atau dibuat lagi, kalau nak ubah strategi itu lebih baik di peringkat awal kempen. Kita berserah kepada kebijaksaan pengundi,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast