Screenshot

PEKAN – Empat yang maut, manakala 20 lagi cedera dalam kemalangan dipercayai membabitkan 30 buah motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran susur keluar Plaza Tol Jabor, Kuantan hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian iaitu Che Mohd Sufian Che Ghani, 40, serta Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan dan Mohd Aizat Husni masing-masing berusia 33 tahun.

Manakala seorang lagi mangsa, Muhammad Safawi Md Noh, 24, dilaporkan meninggal dunia ketika sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

“Kemalangan berlaku ketika sekumpulan penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ berkonvoi menuju Kemaman. Ketika sampai di lokasi kejadian, motosikal ditunggang Che Mohd Sufian dipercayai terlanggar belakang kereta itu.

“Akibatnya, mangsa terjatuh di lorong kanan jalan dan menyebabkan beberapa penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu terlanggar sesama sendiri di atas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, kemalangan turut menyebabkan seorang penumpang kereta terlibat iaitu seorang remaja berusia 13 tahun cedera di bahagian tengkuk.

Sehingga kini seramai 18 mangsa yang tercedera akibat kemalangan itu sedang dirawat di HTAA dan dua lagi menerima rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah (UIA).

“Proses bedah siasat terhadap empat mangsa yang maut akan dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik HTAA mulai jam 8.30 pagi,” katanya.

Ashari berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast