KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini dikurniakan Darjah Panglima Pangkuan Negeri (D.P.P.N.) yang membawa gelaran “Datuk Seri” sempena Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang Tahun 2026 pada Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-85 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.

Turut menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N.) yang membawa gelaran Datuk Seri ialah Datuk Ir. Ramakrishnan Govindasamy, seorang jurutera profesional dan tokoh industri yang mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam bidang kejuruteraan mekanikal serta industri minyak sawit.

Antara penerima lain ialah Ketua Pegawai Eksekutif Techninier Sdn. Bhd., Datuk Peh Lai Yian, tokoh korporat Datuk Soo Sze Ching, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Zulfikri Osman serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Penang, Datuk Loo Lee Lian.

Istiadat sama turut menyaksikan sembilan individu menerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N.), manakala 72 individu menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N.) yang membawa gelaran Datuk.

Antara penerima D.S.P.N. ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Khalid Mohamed; bekas Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail; Allahyarham Nordin Ahmad yang merupakan pelakon, pengarah dan penulis skrip tersohor Cathay-Keris Film Productions; Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim serta Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak.

Secara keseluruhan, seramai 101 individu menerima darjah kebesaran manakala 1,120 lagi menerima bintang dan pingat kehormatan pada tahun ini.

Istiadat penganugerahan berlangsung selama empat hari bermula hari ini dan akan diteruskan pada 13, 14 serta 15 Julai di Dewan Sri Pinang.

Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan negeri kepada individu yang telah memberikan sumbangan cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk pentadbiran awam, pembangunan ekonomi, pelaburan, pendidikan, keselamatan, komunikasi dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Pengurniaan itu mencerminkan penghargaan kerajaan negeri terhadap komitmen serta jasa para penerima dalam memacu pembangunan Pulau Pinang dan negara. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast