Calon PH N.51 Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern menunjukkan jari berdakwat selepas hadir menunaikan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di SJK (C) Foon Yew 5, Johor Bahru. Foto SADIQ SANI, 11 JULAI 2026.

JOHOR BAHRU – Pengundi muda memainkan peranan penting dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung hari ini termasuk menjadi penentu kemenangan mana-mana parti.

Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern berkata, ia kerana terdapat lebih daripada 50 peratus pengundi dalam PRN Johor adalah orang muda.

“Belia adalah tonggak negara. Melihat perkembangan pengundi yang keluar pagi ini terutama orang muda, sangat membanggakan. Harap pengundi akan terus keluar menunaikan tanggungjawab.

“Ini satu petanda yang bagus dan menampakkan politik yang matang,” katanya selepas selesai mengundi di SJKC Foon Yew 5, Puteri Wangsa di sini hari ini.

Beliau menyeru pengundi keluar mengundi demi masa depan Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati selepas melakukan yang terbaik sepanjang berkempen sejak Sabtu lalu.

Tambahnya, maklum balas yang diterima daripada semua lapisan masyarakat sama ada Melayu, Cina dan India sangat positif selain percaya Pakatan Harapan (PH) akan menang PRN Johor kali ini.

Pada PRN Johor yang lalu, Arthur Chiong menang dengan majoriti tipis iaitu 137 undi selepas mendapat keseluruhan 9,439 undi dalam pertandingan empat penjuru di DUN Bukit Batu.

Beliau menewaskan S. Suppayah (Barisan Nasional) 9,302 undi; Tan Heng Choon (Perikatan Nasional) 4,334 undi dan Lee Ming Wen (Parti Warisan) 1,053 undi.

Susulan itu, MIC yang tidak berpuas hati dengan kemenangan tipis itu menuntut SPR mengira semula kertas undi kerusi DUN Bukit Batu.

Suppayah yang juga Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat mahukan pengiraan semula kerana terdapat sejumlah besar kertas undi yang ditolak dan mendakwa berlaku ketirisan, ketika proses pengiraan undi.

Beliau juga mendakwa permintaannya untuk mengira semula undi di beberapa pusat pengundian ditolak oleh pegawai SPR dan penolakan permintaannya itu tidak mematuhi undang-undang kecil pilihan raya.

Suppayah kemudian membuat laporan polis sebelum mengemuka petisyen pilihan raya.

Mahkamah pilihan raya pada 29 Jun 2022 memutuskan kemenangan Arthur Chiong Sen Sern pada PRN Johor, bagi kerusi DUN Bukit Batu Mac lalu adalah sah.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast