Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah.

JOHOR BAHRU – Tiada istilah pengundi Cina akan memboikot Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) hari ini kerana berlaku kesesakan orang ramai yang pulang ke Johor Bahru dari Singapura dan Kuala Lumpur sejak malam tadi.

Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah berkata, sebenarnya kesedaran keluar mengundi kini semakin tinggi di kalangan rakyat apatah terdapat kempen-kempen yang dijalankan syarikat swasta kepada pengundi.

“Semalam, ramai balik ke Johor Baharu dari KL dan Singapura. Tetapi fenomena ini ramai akan balik kerana banyak syarikat swasta contohnya Marrybrown buat kempen di mana beli kombo dua ketul ayam akan dapat tiga ketul ayam asalkan mengundi.

“Itu antara kesedaran yang dijalankan pihak swasta sebenar aliran yang baik untuk menambah kesedaran orang keluar mengundi. Asalkan mengundi, itu paling penting.

“Memang saya rasa tidak ada apa-apa isu boikot dan ramai sebenarnya pengundi Cina keluar mengundi dan terbukti hari ini. Saya juga harap cuaca baik sampai petang,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas selesai membuang undi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Desa Tebrau Johor Bahru di sini.

Kerusi itu menyaksikan bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mewakili Pakatan Harapan berdepan pertandingan lima penjuru melibatkan Teow Chia Ling (BN), Nicholas Paul Vincent (BERSAMA), Rashifa Al Junied (MUDA) dan calon Bebas, Wang Wee Siong.

Dengan 128,723 pemilih berdaftar, ia antara kerusi terbesar dari segi jumlah pengundi dan dijangka menjadi antara persaingan paling sengit.

Sebelum ini, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina atau Dong Jiao Zong (DJZ) menggesa pengundi di Johor dan Negeri Sembilan menunaikan tanggungjawab mengundi pada pilihan raya negeri (PRN).

Gabungan dua persatuan pendidikan paling berpengaruh dalam kalangan masyarakat Cina itu mengingatkan pengundi supaya tidak memboikot pilihan raya walaupun kecewa dengan perkembangan politik semasa.

Menurut mereka, tindakan itu hanya akan menguntungkan pihak yang mengabaikan hak pendidikan dalam pelbagai aliran.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar berkata, pengundi Cina di Johor dilihat ‘tawar hati’ terhadap prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN, namun ketiadaan alternatif yang diyakini dijangka menyebabkan sokongan mereka kepada gabungan itu kekal.

Beliau berkata, dapatan awal kajian di lapangan mendapati ramai pengundi Cina meluahkan rasa kurang puas hati terhadap pencapaian kerajaan PH.

“Di Johor ini, pada peringkat awal saya bertemu dengan segmen pengundi Tionghua ataupun pengundi Cina, mereka berasa tawar hati dengan pencapaian kerajaan PH,” katanya dalam segmen audio siar The Tiger Show pada Jumaat.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengundi Cina melihat PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU) sebagai dua medan yang berbeza.

“Pada mereka, ini sekadar pilihan raya negeri sahaja, ini bukan pilihan raya umum. Suasana PRN dan PRU pada persepsi pengundi Cina adalah berbeza. Pada mereka, PRU itu lebih penting,” katanya.

Sementara itu, keadaan trafik di beberapa laluan utama di Johor kekal lancar hari ini meskipun berlaku peningkatan jumlah kenderaan susulan kepulangan pengundi dari luar negeri dan Singapura.

Tinjauan MalaysiaGazette di Plaza Tol Skudai dan Plaza Tol Kulai mendapati aliran trafik menuju ke bahagian selatan negeri serta pusat Bandar Raya Johor Bahru bergerak lancar tanpa kesesakan luar biasa sekali gus memudahkan pengundi tiba di pusat mengundi mengikut jadual yang dirancang.

Keadaan sama turut direkodkan di Tambak Johor apabila pergerakan kenderaan dari Singapura ke Johor Bahru berjalan lancar sejak awal pagi.

Ramai rakyat Johor yang bermastautin di republik itu dilihat pulang bagi menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan negeri baharu.

Di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LinKedua) menerusi Kompleks Sultan Abu Bakar, Iskandar Puteri, aliran trafik turut terkawal dengan perjalanan kenderaan bergerak secara konsisten tanpa gangguan ketara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast