Aliran trafik di Tambak Johor, Johor Bahru lancar yang menyaksikan pengundi dari Singapura balik untuk mengundi hari ini

JOHOR BAHRU – Keadaan trafik di beberapa laluan utama di Johor kekal lancar pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 meskipun berlaku peningkatan jumlah kenderaan susulan kepulangan pengundi dari luar negeri dan Singapura.

Tinjauan di Plaza Tol Skudai dan Plaza Tol Kulai mendapati aliran trafik menuju ke bahagian selatan negeri serta pusat Bandar Raya Johor Bahru bergerak lancar tanpa kesesakan luar biasa sekali gus memudahkan pengundi tiba di pusat mengundi mengikut jadual yang dirancang.

Keadaan sama turut direkodkan di Tambak Johor apabila pergerakan kenderaan dari Singapura ke Johor Bahru berjalan lancar sejak awal pagi.

Ramai rakyat Johor yang bermastautin di republik itu dilihat pulang bagi menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan negeri baharu.

Di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LinKedua) menerusi Kompleks Sultan Abu Bakar, Iskandar Puteri, aliran trafik turut terkawal dengan perjalanan kenderaan bergerak secara konsisten tanpa gangguan ketara.

Tinjauan di Plaza Tol Kulai lancar yang menyaksikan pengundi dari luar Johor pulang untuk menunaikan tanggungjawab mengundi hari ini

Rata-rata pengundi merancang perjalanan lebih awal dan memilih waktu perjalanan yang sesuai bagi mengelakkan kesesakan selain mengambil kira jangkaan peningkatan jumlah kenderaan sepanjang hujung minggu dan hari pengundian.

Langkah membuat perancangan awal itu dilihat membantu melancarkan pergerakan trafik di pintu masuk utama ke Johor, sekali gus memastikan perjalanan pulang mengundi berlangsung dengan lebih selesa dan teratur.

Sebelum ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan lebih 300,000 pengundi luar Johor pulang bagi menunaikan tanggungjawab pada PRN kali ini, sekali gus menyumbang kepada peningkatan aliran trafik di rangkaian lebuh raya utama negeri itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor yang menyaksikan rakyat negeri itu memilih wakil rakyat bagi membentuk kerajaan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast