JOHOR BAHRU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan meneliti kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang menyaksikan tewas di semua 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya akan membuat bedah selepas ini bagi mengenal pasti beberapa langkah strategik.
Pihaknya menerima keputusan pengundi pada PRN Johor semalam yang menyaksikan parti berkenaan tidak memenangi sebarang kerusi menerusi Perikatan Nasional (PN).
“Secara keseluruhan, jumlah undi yang diterima (Bersatu) adalah baik dan tapak sokongan ini akan terus diperluaskan di masa depan.
“Bersatu menerima keputusan pengundi Johor yang memberikan sokongan kepada calon di 16 kawasan ditandingi atas nama PN. Demokrasi yang memberi kuasa kepada rakyat adalah asas penting untuk kemajuan negara,” katanya dalam kenyataan.
Mohamed Azmin turut mengucapkan terima kasih kepada semua jentera Bersatu yang bekerja keras membantu calon dalam semangat setiakawan dan kesetiaan kepada perjuangan.
Beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Barisan Nasional (BN) yang diberikan mandat baru untuk membentuk kerajaan negeri selepas memenangi PRN Johor itu.
Pada PRN Johor ke-16, Bersatu tewas semua kerusi DUN ditandingi termasuk di Bukit Kepong selepas dua penggal memenanginya menerusi bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi malam tadi, BN memenangi 48 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, manakala lapan lagi oleh Pakatan Harapan (PH).- MalaysiaGazette
















