KLANG – Suasana tenang di sekitar kawasan ‘Bus Stand Klang’ di sini yang menjadi lokasi tumpuan warga asing pada hujung minggu bertukar kecoh apabila digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette yang mengikuti Op Mega bermula jam 12 tengah hari itu mendapati, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri hingga sanggup tergolek di atas jalan bagi mengelak daripada dicekup penguatkuasa.
Bukan itu sahaja, ada segelintir warga asing yang ditemui dalam keadaan mabuk dan sanggup mengurungkan diri di belakang peti ais sehingga penguat kuasa terpaksa memecahkan pintu ‘shutter’.

Ketika serbuan itu, wartawan MalaysiaGazette turut menemui sebuah hotel dipercayai menjadi lokasi pelacuran yang memiliki 20 bilik bersama pelbagai barangan seksual seperti kondom dan pelincir.
Pemeriksaan mendapati, premis terbabit menawarkan sewaan bilik iaitu RM20 sejam dan RM40 sehari malah menemui seorang lelaki warga Myanmar berusia 32 tahun terkurung di dalam tandas disyaki kempunan untuk melepaskan ‘hajatnya’.
Lebih mengejutkan lagi, di tengah pusat bandar itu turut dicemari bau busuk dengan aktiviti penjualan daging lembu tanpa mengikut piawaian pengendalian makanan seperti membiarkan daging dan kepala lembu di atas lantai.
Dalam operasi terbabit, lebih 1,000 warga asing terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan India telah ditahan dan diperiksa selain terdapat puluhan premis perniagaan seperti makanan, pakaian dan aksesori telefon dipercayai diusahakan warga asing.

Sementara itu, pengunjung tempatan, Ken, 26, berkata, setiap kali hujung minggu kawasan itu sering menjadi ‘port’ tumpuan ribuan warga asing berkumpul, bersantai dan membeli-belah.
“Saya selalu ke sini untuk membeli barang dan memang hujung minggu ramai warga asing di sini. Mereka membeli barang, jumpa kawan bila cuti. Kalau cakap takut itu, ada juga tapi tidak kacau kita,” jelasnya.
Malah ada pengunjung warga Bangladesh, Morsid Alam, 33, merupakan mahasiswa doktor falsafah sebuah universiti awam ditemui sedang membeli tiket penerbangan pulang ke kampungnya menjelang cuti semester pada bulan depan.
“Saya tinggal di Serdang Raya dan seorang mahasiswa sepenuh masa, sedang dalam semester kedua pengajian. Saya datang ke sini untuk membeli barang dan tiket penerbangan daripada ejen pelancongan bulan depan. Akan kembali semula ke sini pada Oktober nanti,” ujarnya.

Pemerhatian wartawan MalaysiaGazette di lokasi mendapati, terdapat segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba meloloskan diri dan bertindak agresif ketika melihat kehadiran JIM selain merayu untuk dilepaskan.
Difahamkan, kesemua tangkapan itu telah dibawa ke Pejabat Imigresen Selangor untuk proses dokumentasi bagi siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Terdahulu, operasi dilaksanakan JIM Selangor dengan kerjasama Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan negeri serta agensi lain iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). – MalaysiaGazette
















