Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kiri) ditemani ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz selepas Mahkamah Rayuan membebaskan beliau dari sabitan dan hukuman seleweng dana Armada di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 25 JUN 2025 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – “Biar apa pun berlaku esok, saya tidak akan sedikit pun merasa sesal dalam mempertahankan prinsip dan moral, meskipun apa jua akibatnya,” demikian luahan Syed Saddiq Abdul Rahman menerusi hantaran di media sosialnya, malam ini.

Esok, Ahli Parlimen Muar itu akan mengetahui nasib beliau apabila Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusan akhir berhubung rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya selepas keputusan kes ditangguhkan pada 30 Jun lalu, apabila seorang daripada tiga hakim panel terbabit mengambil cuti sakit.

Menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, luahan malam ini bukan untuk meraih simpati sebaliknya menzahirkan kebenaran berhubung apa yang sedang berlegar di fikirannya ketika ini.

“Malam ini saya tidak meminta simpati, saya mahu bercakap tentang siapa kita walaupun diuji. Lebih enam tahun saya melalui proses ini. Saya hadir setiap kali dipanggil, tiada penangguhan daripada saya, tiada jalan pintas dan tiada layanan istimewa.

“Saya memilih mahkamah kerana di negara ini yang kita cintai ini, kebenaran mesti diuji dengan bukti dan keadilan ditegakkan melalui undang-undang bukan kuasa,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Syed Saddiq meminta rakyat Muar dan seluruh rakyat Malaysia tidak hanya mendoakan beliau sebaliknya turut berdoa agar undang-undang Malaysia kekal melindungi semua pihak, sama ada kawan atau lawan, yang berkuasa atau rakyat biasa.

Tambahnya, beliau berserah kepada Allah dan tidak akan berdendam dengan sesiapa selepas berusaha membuktikan kebenaran di mahkamah.

“Kepimpinan tidak akan diuji ketika semuanya mudah. Ia diuji ketika masa depan dan kebebasan kita dipertaruhkan. Namun kita masih memilih jalan yang benar bukan dendam.

“Saya sudah berusaha selebihnya. Saya serahkan kepada Allah. Kebenaran tidak memerlukan kuasa untuk berdiri. Kepada Allah saya berserah,” katanya.

Esok, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan membabitkan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah, dijangka menyampaikan keputusan terhadap Syed Saddiq pada jam 9 pagi.

Ia sekali gus bakal memuktamadkan sama ada Syed Saddiq kekal bebas atau dijatuhi hukuman penjara atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan BERSATU Anak Muda (ARMADA).

Pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun tahun lalu, melepas dan membebaskan Syed Saddiq, 33, selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari ARMADA melakukan pecah amanah terhadap dana ARMADA berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun, sebatan dan denda.

Selain itu, Syed Saddiq turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik ARMADA Bumi Bersatu Enterprise mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.

Beliau juga dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang sabit kesalahan boleh dipenjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast