Datuk Seri Nizar Najib

SEGAMAT – Anak bekas Perdana Menteri Najib Razak menzahirkan kesyukuran susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam.

Menurut Datuk Mohd Nizar Najib, kemenangan itu antara doa orang teraniaya yang telah dimakbulkan dan jawapan rakyat terhadap budaya politik kebencian dan provokasi sepanjang kempen.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang itu juga melahirkan rasa syukur atas kemenangan tersebut sambil meluahkan kekesalan terhadap serangan yang menurutnya ditujukan kepada keluarganya walaupun mereka tidak terlibat secara langsung dalam pilihan raya berkenaan.

“Sewaktu suhu tempoh berkempen berada di paras tinggi, beberapa provokasi melampau sengaja ditecetuskan oleh pihak lawan.

“Saya amat kesal dengan serangan bertubi-tubi diajukan kepada Ayahanda Najib Razak dan juga adik saya Naziffudin sedangkan Ayah tidak terlibat langsung dalam PRN ini dan tidak mampu sama sekali untuk mempengaruhi keputusannya,” katanya.

Menurut beliau, sesebuah parti politik seharusnya tampil dengan tawaran dasar, pembangunan dan khidmat kepada rakyat bukan menjadikan fitnah serta hasutan sebagai senjata politik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya itu turut mengimbau detik berkempen di Kukup apabila mendoakan agar BN dikurniakan kemenangan meyakinkan sebagai balasan terhadap apa yang disifatkannya sebagai kezaliman politik.

“Bukan politik kebencian. Ternyata senjata provokasi, fitnah dan hasutan telah makan diri Tuan yang mengamalkannya.

“Sewaktu berkempen di DUN Kukup Saya ada berdoa kepada Allah SWT yang Maha Esa di hadapan penyokong BN di Tanjung Piai, agar politik kebencian ini dibalas dengan kemenangan yang sangat meyakinkan, lebih 40 kerusi oleh Barisan Nasional Johor.

“Syukur alhamdulilah doa mereka yang teraniaya dimakbulkan,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Dalam pada itu, Mohamad Nizar menegaskan, keluarganya akan terus berdoa dan berusaha agar keadilan dapat ditegakkan buat ayahandanya pada masa hadapan.

“Kami menginsafi jalan untuk beliau dapat pembelaan sewajarnya bukan mudah. Kami hanya mampu berdoa dan terus berikhtiar agar kebenaran dan keadilan berpihak kepada Ayahanda suatu hari nanti dengan Izin Allah SWT. Amin Ya Rabb,” tulisnya.

Pada PRN Johor kali ini Barisan Nasional (BN) memenangi 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi 8 kerusi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast