Pengerusi Badan Perhubungan BN Johor yang juga calon N.26 Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi diiringi Setiausaha Agung BN, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki hadir pada Majlis Pengumuman Calon BN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 24 JUN 2026. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Seluruh jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) diseru terus merendah diri meskipun setelah memenangi 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, semua jentera parti perlu bekerja lebih kuat dan lebih keras untuk rakyat.

“Tiada masa untuk mendabik dada, jauh sekali merasa selesa. Kemenangan ini adalah amanah besar yang wajib dipikul dan ditunaikan sebaiknya,” ujarnya menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook.

Beliau mengulas kemenangan BN besar semalam, meninggalkan jauh Pakatan Harapan (PH) yang hanya mendapat lapan kerusi DUN.

Asyraf Wajdi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh pengundi Johor atas mandat dan kepercayaan yang diberikan.

Beliau memberi jaminan BN akan terus membuktikan bahawa setiap kepercayaan yang diberikan akan dibalas dengan kerja keras, khidmat yang bersungguh-sungguh dan komitmen yang tidak berbelah bahagi demi rakyat.

Beliau turut berterima kasih kepada seluruh jentera di setiap peringkat, jentera Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, jentera Bahagian, cawangan serta seluruh petugas dan sukarelawan yang bertungkus-lumus siang dan malam sepanjang tempoh kempen.

“Saya sendiri menyaksikan kesungguhan dan pengorbanan sahabat-sahabat di lapangan. Panas dan hujan ditempuh, masa bersama keluarga dikorbankan, penat dan lelah diketepikan.

“Semuanya demi satu tekad untuk memastikan kestabilan dikekalkan dan kemajuan Johor dapat diteruskan,” ujarnya.

Beliau selanjutnya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas kepimpinan, keyakinan dan kebersamaan bersama seluruh jentera sepanjang menghadapi pilihan raya.

Ucapan terima kasih turut ditujukan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas kepimpinan dan kesungguhan membawa agenda kemajuan negeri serta menyantuni Bangsa Johor tanpa mengenal penat dan lelah.

“Ucapan terima kasih turut ditujukan kepada seluruh jentera BN yang berkampung di Johor dan datang dari seluruh pelosok negara, bagi memastikan kemenangan yang amat bermakna pada RPRN ini.

“Kalianlah wira dan wirawati di sebalik kemenangan ini. Semoga Allah SWT menerima segala penat lelah dan pengorbanan kita sebagai amal soleh serta terus memandu perjuangan ini demi agama, bangsa dan tanah air.

“Insya-Allah, kestabilan terus dikekalkan dan kemajuan Johor akan terus dipacu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast